
Pengalaman Malaysia sebagai perantara dalam konflik geopolitik di Asia Tenggara menjadi kunci kejayaan membawa Thailand dan Kemboja ke meja rundingan bagi menyelesaikan ketegangan di sempadan kedua-dua negara, menurut pakar geostrategi Prof Dr Azmi Hassan. Beliau berkata Malaysia, selaku Pengerusi ASEAN, telah dipercayai kerana pendekatannya yang neutral, seperti yang terbukti dalam konflik di Aceh, selatan Thailand, dan selatan Filipina.
“Malaysia tidak berat sebelah kepada mana-mana pihak, sama ada Thailand atau Kemboja. Ini adalah ‘leverage aura’ yang menjadikan Malaysia dipercayai,” kata Azmi dalam temu bual dengan Bernama TV. Beliau menambah, mesyuarat khas yang dipengerusikan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim di Putrajaya mencatat sejarah kerana kali pertama Pengerusi ASEAN terlibat secara langsung dalam menyelesaikan konflik Thailand-Kemboja yang berlarutan.
Strategi bijak Anwar termasuk menjemput kuasa besar seperti Amerika Syarikat dan China ke mesyuarat tersebut, memanfaatkan pengaruh mereka terhadap kedua-dua negara. “Kuasa besar ini diperlukan dalam hal ini untuk menggalakkan Thailand dan Kemboja berunding,” ujar Azmi.
Hasil mesyuarat, Thailand dan Kemboja bersetuju melaksanakan gencatan senjata serta-merta tanpa syarat mulai tengah malam ini, selepas konflik di Preah Vihear sejak 28 Mei lalu meragut nyawa seorang anggota tentera Kemboja. Perdana Menteri Kemboja, Hun Manet, dan Pemangku Perdana Menteri Thailand, Phumtham Wechayachai, menzahirkan komitmen untuk meredakan ketegangan dan memulihkan keadaan.
Sumber: BERNAMA