
Pelaksanaan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) telah membawa perubahan ketara kepada kehidupan masyarakat Orang Asli, khususnya dalam memastikan bekalan makanan asas sentiasa mencukupi tanpa perlu bergantung kepada ubi kayu sebagai pengganti beras.
Bagi Amoi Asud, 36, dari suku Temiar di Kampung Jader, Pos Simpor, Gua Musang, bantuan ini membolehkan suaminya membeli beras, mi, bihun dan barangan kering lain dengan hanya menggunakan MyKad, sekali gus memudahkan urusan serta menjimatkan masa.
“Sejak ada bantuan ini, makanan kami sentiasa cukup. Tak perlu lagi tunggu bekalan beras habis untuk beralih kepada ubi kayu,” katanya.
Sementara itu, Suria Kamarul, 24, dari suku Mendriq di Kampung Kuala Lah berkata MyKad kini berfungsi sebagai kad serba guna, membolehkan beliau membeli barangan asas di kedai runcit berdaftar walaupun terletak hampir 10 kilometer dari penempatannya.
“Bantuan RM100 sebulan ini kami gunakan sebaik mungkin untuk beli barang dapur dan keperluan harian,” katanya yang bekerja menanam serai bersama suami.
Bagi penoreh getah Harun Abus, 24, penggunaan MyKad adalah lebih praktikal berbanding bantuan tunai kerana perbelanjaan lebih terkawal selain jumlah kedai kampung yang berdaftar dengan SARA semakin bertambah.
SARA turut memanfaatkan nelayan warga emas Awang Mat Sulaiman, 67, dari Tok Bali, Pasir Puteh, yang mengakui kaedah pembelian menggunakan MyKad memudahkan golongan seusianya. Isterinya, Zainun Sidi, 65, pula memuji kewujudan kaunter khas untuk penerima SARA di pasar raya.
Seorang ibu tunggal, Zariana Awang Mat, 34, yang menyara lima anak berkata bantuan ini memudahkannya membeli keperluan harian tanpa perlu menyediakan wang tunai terlebih dahulu.
Program SARA, yang kini diperluas kepada 5.4 juta penerima di seluruh negara, merangkumi 700,000 penerima eKasih dan 4.7 juta penerima Sumbangan Tunai Rahmah (STR). Dalam Belanjawan 2025, peruntukan untuk STR dan SARA ditingkatkan kepada RM13 bilion, manakala kadar bantuan tahunan SARA dinaikkan kepada RM2,100 berbanding RM1,200 tahun lalu.
Sempena sambutan Hari Kebangsaan, kerajaan turut mengumumkan pemberian sekali beri sebanyak RM100 kepada semua warganegara dewasa berusia 18 tahun ke atas, memberi manfaat kepada 22 juta rakyat dengan tambahan peruntukan RM2 bilion – menjadikan jumlah keseluruhan bantuan tunai tahun ini mencecah RM15 bilion, tertinggi dalam sejarah negara.
Sehingga 29 Julai lalu, sebanyak 4,500 premis runcit berdaftar menawarkan lebih 90,000 barangan keperluan harian dalam 14 kategori termasuk beras, telur, ubat-ubatan, barangan kebersihan, keperluan sekolah dan kebersihan diri.
— BERNAMA