
Ketegangan memuncak antara Menteri Pertahanan Israel, Yoav Katz, dan Ketua Turus Tentera, Leftenan Jeneral Eyal Zamir, selepas pelantikan pegawai kanan dilakukan tanpa kelulusan menteri.
Dalam kenyataan rasmi, Katz menegur Zamir kerana membuat pelantikan tentera “tanpa penyelarasan atau persetujuan terlebih dahulu”, yang menurutnya melanggar prosedur sedia ada. Beliau menegaskan tidak akan membincangkan atau meluluskan sebarang pelantikan yang dibuat secara unilateral.
Bagaimanapun, dalam kenyataan balas, Zamir menegaskan beliau adalah pihak berkuasa tunggal yang berhak melantik pegawai berpangkat kolonel ke atas, sebelum nama dibawa kepada menteri untuk kelulusan.
Pertelingkahan ini berlaku di tengah-tengah perbezaan pandangan mengenai strategi perang di Gaza. Media Israel melaporkan bahawa Zamir lebih memilih untuk mengepung bandar-bandar utama Gaza daripada menaklukinya, berbeza dengan rancangan kerajaan untuk mengawal sepenuhnya kawasan itu.
Sejak serangan bermula 22 bulan lalu, tentera Israel telah menduduki sekitar 75 peratus wilayah Gaza yang kini musnah teruk. Zamir, yang dilantik Mac lalu, berikrar untuk terus menyuarakan pendirian tentera “tanpa rasa takut dan secara profesional”, manakala Katz menegaskan tentera akhirnya mesti melaksanakan keputusan kerajaan.
Sumber TRT World