DuniaSemasa

Tesla Mohon Lesen Bekal Tenaga Kepada Isi Rumah Di Britain

Syarikat milik jutawan Elon Musk, Tesla, merancang untuk memasuki pasaran tenaga Britain dan membekalkan tenaga kepada isi rumah serta perniagaan di England, Scotland dan Wales seawal tahun depan.

Menurut laporan PA Media/dpa, Tesla melalui anak syarikatnya, Tesla Energy Ventures, telah memohon lesen pembekalan tenaga daripada pihak pengawal selia, Ofgem, bulan lalu. Permohonan itu ditandatangani oleh Pengarah Perniagaan Tenaga Tesla di Eropah, Andrew Payne.

Langkah ini bakal meletakkan Tesla bersaing dengan syarikat gergasi tenaga sedia ada, termasuk pemilik British Gas, Centrica, dan Octopus Energy. Tesla sebelum ini telah diberi lesen sebagai penjana elektrik di UK sejak 2020, dan di Amerika Syarikat, syarikat itu menjadi pembekal elektrik di Texas sejak tiga tahun lalu.

Tesla, yang terkenal sebagai pengeluar kenderaan elektrik, turut mempunyai perniagaan tenaga solar dan penyimpanan bateri. Usaha ini dibuat kira-kira dua tahun selepas syarikat mula merekrut ketua operasi bagi mengurus cadangan perniagaan bekalan tenaga di UK.

Perkembangan ini berlaku di tengah penurunan permintaan terhadap kenderaan elektrik Tesla di Eropah, dengan data industri menunjukkan pendaftaran baharu di UK pada Julai merosot hampir 60 peratus – hanya 987 unit berbanding 2,462 unit pada bulan sama tahun lalu.

Sumber – Bernama

Related Articles

Back to top button