
Sudan Selatan menegaskan pihaknya tidak pernah mengadakan sebarang rundingan dengan Israel untuk memindahkan penduduk Palestin dari Gaza ke negara itu, sekali gus menolak dakwaan yang dilaporkan media Israel.
Dalam kenyataan pada Rabu, Kementerian Luar Sudan Selatan berkata laporan tersebut “tidak berasas dan tidak mencerminkan pendirian atau dasar rasmi” kerajaan.
“Kerajaan Republik Sudan Selatan dengan tegas menyangkal laporan media baru-baru ini yang mendakwa kami terlibat dalam perbincangan dengan Negara Israel mengenai penempatan semula warga Palestin dari Gaza,” menurut kenyataan itu.
Juba turut menggesa media antarabangsa menjalankan pengesahan dengan sumber rasmi sebelum menyiarkan berita.
Media Israel sebelum ini mendakwa Tel Aviv sedang berbincang dengan Sudan Selatan untuk menempatkan rakyat Palestin dari Gaza di negara Afrika Timur itu, sebagai sebahagian rancangan yang lebih luas untuk memudahkan penghijrahan besar-besaran dari wilayah yang musnah akibat perang berlarutan sejak 22 bulan lalu. Enam sumber memberitahu Associated Press bahawa perbincangan sedemikian memang berlaku.
Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu sebelum ini menyuarakan sokongan terhadap apa yang digelar “penghijrahan sukarela” penduduk Gaza, selaras dengan visi bekas Presiden AS Donald Trump. Israel juga dilapor telah mengemukakan cadangan serupa kepada beberapa negara Afrika lain.
Namun, rakyat Palestin, kumpulan hak asasi manusia dan majoriti masyarakat antarabangsa menolak cadangan itu, menyifatkannya sebagai bentuk pengusiran paksa yang bertentangan dengan undang-undang antarabangsa.
Walaupun sebahagian penduduk Gaza mungkin mahu meninggalkan wilayah itu buat sementara bagi mengelak perang dan kebuluran, ramai bimbang mereka tidak akan dibenarkan kembali serta Israel akan mengambil kesempatan untuk menjajah semula Gaza dan membina penempatan Yahudi di sana.
Sudan Selatan, salah satu negara paling tidak stabil di dunia, sendiri masih bergelut memulihkan keamanan selepas perang saudara yang mengorbankan hampir 400,000 orang dan menyebabkan kebuluran di beberapa kawasan.
— Sumber: AP, AA, TRT Global