DomestikSemasa

Polis Buka Semula Kes Kematian Pelajar Tahfiz Wan Ahmad Faris Selepas 12 Tahun

KUALA LUMPUR, 20 Ogos (Bernama) – Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan membuka semula kertas siasatan kes kematian pelajar tahfiz, Wan Ahmad Faris Wan Abdul Rahman, yang ditemui mati tergantung di sebuah sekolah tahfiz di Kok Lanas, Kelantan pada Disember 2013.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, berkata keputusan itu diambil selepas keluarga Allahyarham menyerahkan surat rasmi kepada polis Bukit Aman pada Isnin lalu bagi memohon siasatan dibuka semula.

“Kes adik Faris berlaku pada 2013, inkues dijalankan pada 2016 dengan dapatan bahawa terdapat penglibatan pihak ketiga. Sebab itu keluarga mendesak agar siasatan diteliti semula.

“Saya sudah berbincang dengan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah, dan polis tidak ada halangan untuk membuka kembali kertas siasatan kerana dokumen asalnya lengkap. Walaupun ketika itu (2013) ia dikategorikan sebagai no further action oleh Timbalan Pendakwa Raya, sekarang kita boleh semak semula,” katanya ketika menggulung perbahasan usul Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) di Dewan Rakyat hari ini.

Allahyarham Wan Ahmad Faris, pelajar Tingkatan Empat Maahad Tahfiz Sains Nurul Aman, ditemui mati tergantung dalam tandas asrama sekolah berkenaan pada Disember 2013. Mayatnya dikesan selepas penyelia asrama menghidu bau busuk dari bilik tandas tersebut.

Bedah siasat ketika itu mengklasifikasikan kematian sebagai kematian mengejut tanpa unsur jenayah. Namun, Mahkamah Koroner pada Jun 2016 memutuskan kematian Wan Ahmad Faris berpunca daripada perbuatan jenayah membabitkan individu yang tidak dikenal pasti.

Persidangan Dewan Rakyat bersambung esok.

— BERNAMA —

Related Articles

Back to top button