PalestinSemasa

Pengiktirafan Negara Palestin Boleh Jadi Pemangkin Penyelesaian Dua Negara – Utusan Palestin

Pengiktirafan negara Palestin oleh kuasa Barat dijangka mampu menjadi titik tolak penting ke arah merealisasikan penyelesaian dua negara, kata Ketua Misi Palestin ke United Kingdom (UK), Dr. Husam Zomlot.

Menurut beliau, langkah pengiktirafan itu bukan sekadar simbolik, sebaliknya mampu mencetuskan momentum antarabangsa untuk menekan Israel menghentikan serangan ke atas Gaza serta perluasan penempatan haram di Tebing Barat.

“Pengiktirafan ini akan menjadi seumpama ‘senjata permulaan’ untuk pecutan ke arah melaksanakan penyelesaian dua negara. Kami mengharapkan peranan aktif, berkesan dan bermakna daripada United Kingdom,” katanya pada satu acara di Chatham House, London, dipetik Reuters.

Beberapa negara seperti Britain, Perancis, Kanada, Australia dan Belgium dijangka mengumumkan pengiktirafan rasmi terhadap Palestin pada Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) akan datang. UK bagaimanapun menyatakan sikap itu boleh berubah sekiranya Israel bersedia meredakan krisis kemanusiaan di Gaza dan komited kepada proses damai jangka panjang.

Israel, yang kini berdepan kecaman global ekoran serangan berterusan ke atas Gaza, mengutuk langkah pengiktirafan itu dengan mendakwa ia hanya memberi manfaat kepada Hamas.

Penyelesaian dua negara membayangkan penubuhan sebuah negara Palestin berdaulat di Gaza dan Tebing Barat yang diduduki, wujud bersama Israel. Namun, kebolehlaksanaannya semakin dipertikai ekoran pembangunan penempatan Israel yang pesat serta isu sempadan, pelarian dan status Baitulmaqdis yang belum diselesaikan.

Dr. Zomlot menegaskan, pengiktirafan daripada Britain amat signifikan kerana negara itu pernah mengeluarkan Deklarasi Balfour 1917 yang menyokong penubuhan “rumah kebangsaan bagi orang Yahudi di Palestin.”

“Sebaik sahaja wujud tekanan antarabangsa yang bermakna, saya yakin ia masih berkemungkinan. Israel perlu segera membongkar penempatan haram,” katanya.

Pada 2024, Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) telah memutuskan bahawa pendudukan Israel dan aktiviti penempatan mereka adalah menyalahi undang-undang dan perlu ditarik balik secepat mungkin.

SUMBER: Reuters

Related Articles

Back to top button