
Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump menegaskan bahawa keputusan melancarkan serangan ke atas Qatar dibuat oleh Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, bukannya Washington.
“Ini adalah keputusan yang dibuat oleh Perdana Menteri Netanyahu, ia bukan keputusan saya,” kata Trump dalam catatan di platform media sosialnya, Truth Social, pada Selasa.
Trump menjelaskan bahawa beliau segera mengarahkan Duta Khas AS, Steve Witkoff, untuk memaklumkan pihak Qatar mengenai serangan yang akan berlaku. Namun, katanya, makluman itu tiba “terlalu lewat” kerana letupan sudah pun berlaku ketika itu.
Kenyataan tersebut hadir selepas Kementerian Luar Qatar menafikan dakwaan Rumah Putih bahawa Doha dimaklumkan lebih awal, sebaliknya menyatakan pegawai AS hanya menghubungi ketika serangan sedang berlaku.
Trump turut mendedahkan bahawa beliau bercakap dengan Netanyahu selepas serangan tersebut, dan pemimpin Israel itu mendakwa mahu mencari jalan damai. Presiden AS itu juga menghubungi Emir Qatar, Sheikh Tamim bin Hamad Al Thani, bagi memberi jaminan bahawa insiden sama tidak akan berulang.
“Pengeboman secara unilateral di dalam Qatar, sebuah negara berdaulat dan sekutu rapat Amerika Syarikat, yang bekerja keras dan berani mengambil risiko bersama kami untuk menjadi perantara damai, tidak memajukan Israel atau matlamat Amerika,” tegas Trump, mengulangi kenyataan jurucakapnya, Karoline Leavitt.
Beliau menambah bahawa Setiausaha Negara, Marco Rubio, telah diarahkan untuk memuktamadkan Perjanjian Kerjasama Pertahanan dengan Qatar.
Dalam kenyataan berasingan, tentera Israel mendakwa serangan itu menyasarkan “kepimpinan kanan Hamas” yang berpangkalan di Doha.
Namun, Qatar mengutuk sekeras-kerasnya tindakan tersebut, menyifatkannya sebagai “pelanggaran terang-terangan undang-undang antarabangsa” serta ancaman terhadap kedaulatan negara itu.
Doha bersama Mesir dan AS merupakan antara pengantara utama dalam rundingan antara Israel dan Hamas sejak konflik Gaza kembali memuncak.
Sejak 7 Oktober 2023, serangan Israel ke atas Gaza telah meragut lebih 64,600 nyawa rakyat Palestin, selain menyebabkan kemusnahan besar dan kebuluran di wilayah berkenaan.
November lalu, Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) mengeluarkan waran tangkap terhadap Netanyahu dan bekas Menteri Pertahanan, Yoav Gallant, atas tuduhan jenayah perang dan jenayah terhadap kemanusiaan. Israel turut berdepan kes pembunuhan beramai-ramai di Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ).
-AA






