
Menteri Luar Turki, Hakan Fidan, berkata perkembangan terbaru konflik Gaza menunjukkan Amerika Syarikat (AS) tidak mempunyai pengaruh besar terhadap dasar Israel seperti yang sering dipercayai, malah mungkin sebaliknya.
“Peristiwa baru-baru ini membuktikan AS tidak memiliki banyak pengaruh ke atas dasar Israel seperti yang diandaikan. Malah, boleh jadi Israel yang lebih berpengaruh terhadap politik domestik AS,” katanya dalam wawancara bersama saluran televisyen MBC MASR pada Khamis.
Fidan menegaskan Israel secara konsisten menolak penyelesaian dua negara berdasarkan sempadan 1967, sebaliknya terus merampas tanah Palestin dengan menggunakan alasan keselamatan.
“Ini telah menjadi masalah utama dunia Islam selama beberapa dekad. Dalam beberapa tahun kebelakangan ini, peluasan Israel bukan sahaja menindas rakyat Palestin, malah menjadi ancaman rasmi kepada rantau ini,” katanya.
Beliau turut mengulas Sidang Kemuncak Arab-Islam di Doha yang menekankan keperluan membendung peluasan Israel serta menghentikan pembunuhan beramai-ramai di Gaza.
“Kami akan terus menentang cubaan Israel mengilhak Tebing Barat dan berusaha merealisasikan kewujudan negara Palestin yang merdeka. Ini penting untuk keamanan serantau,” jelasnya.
Fidan turut menyatakan bahawa kelemahan politik, ekonomi dan teknologi negara-negara jiran telah dimanfaatkan Israel untuk memperkukuh keselamatannya.
Beliau memberi contoh pencerobohan Israel di Lubnan, kehadiran tentera di Syria, serangan ke atas Iran, operasi di Yaman serta serangan terbaru terhadap Qatar.
Dalam masa sama, Fidan menzahirkan kekecewaan terhadap kegagalan badan antarabangsa, khususnya Kesatuan Eropah (EU) dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), menangani isu genosid di Gaza serta konflik lain seperti perang Rusia-Ukraine.
“Majlis Keselamatan PBB jelas tidak berupaya menyelesaikan krisis dunia. Pembaharuan menyeluruh terhadap struktur PBB amat diperlukan bagi mewujudkan mekanisme keputusan yang lebih inklusif,” katanya.
Mengenai kerjasama serantau, Fidan menegaskan negara-negara anggota Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) dan Liga Arab berpotensi membina sistem politik bersepadu sekiranya kepimpinan mereka bersetuju.
“Kita tidak perlu lagi berbicara tentang dominasi Turki, Arab atau Parsi. Apa yang diperlukan ialah kerjasama – bukan penguasaan,” ujarnya.
Beliau juga menekankan hubungan Turki-Mesir kini berada pada tahap terbaik dalam sejarah moden, selain hubungan dagangan yang semakin kukuh dengan Mesir dan Arab Saudi, termasuk dalam industri pertahanan.
“Kami perlu meletakkan isu keselamatan bersama di atas meja, sama seperti kerjasama dalam bidang ekonomi, perdagangan dan teknologi,” katanya.
— AA







