
Israel bertindak balas dengan keras selepas Britain, Kanada dan Australia pada Ahad secara rasmi mengiktiraf Negara Palestin, satu langkah bersepadu yang lahir daripada kekecewaan terhadap perang berlarutan di Gaza dan usaha untuk menghidupkan semula penyelesaian dua negara.
Kementerian Luar Israel menyifatkan keputusan itu sebagai “tidak lebih daripada ganjaran kepada Hamas,” manakala Perdana Menteri Benjamin Netanyahu menegaskan sebuah negara Palestin “tidak akan ditubuhkan di barat Sungai Jordan.” Beliau berkata Israel akan mengumumkan respons rasminya selepas pulang dari Amerika Syarikat, di mana beliau dijadualkan bertemu Presiden Donald Trump.
Beberapa menteri sayap kanan Israel mendesak tindakan segera. Menteri Keselamatan Nasional Itamar Ben-Gvir menggesa kerajaan supaya mengilhak Tebing Barat yang diduduki dan “menghapuskan sepenuhnya Pihak Berkuasa Palestin.” Beliau turut berikrar membawa cadangan pengilhakan itu ke mesyuarat kabinet akan datang. Menteri Kewangan Bezalel Smotrich pula menyatakan negara luar tidak boleh menentukan masa depan Israel, sambil menegaskan bahawa “jawapan sebenar ialah kedaulatan penuh Yahudi di Tebing Barat dan menyingkirkan terus idea negara Palestin daripada agenda.”
Di pihak pembangkang Israel, Ketua Pembangkang Yair Lapid turut menyifatkan pengiktirafan itu sebagai “ganjaran kepada keganasan,” namun meletakkan sebahagian besar kesalahan pada kegagalan diplomasi kerajaan Netanyahu. “Kerajaan yang berfungsi boleh mengelakkan keadaan ini dengan pendekatan diplomatik yang betul. Kini, selepas bencana keselamatan terbesar dalam sejarah Israel, kita juga berdepan krisis diplomatik paling serius,” katanya. Yair Golan, ketua Parti Demokrat dan bekas timbalan ketua tentera Israel, menyifatkan perkembangan itu sebagai “kegagalan politik besar Netanyahu dan Smotrich” yang menurutnya merugikan keselamatan Israel sendiri.
Kritikan juga timbul di luar Israel. Di United Kingdom, Ketua Pembangkang Kemi Badenoch mengecam langkah kerajaan, menyifatkannya sebagai “ganjaran tanpa syarat kepada keganasan.” Dari Washington, Setiausaha Negara AS Marco Rubio memberi amaran bahawa negara-negara Eropah yang mengiktiraf Palestin boleh berdepan tindak balas keras Israel. Beliau menambah bahawa Amerika Syarikat tidak akan menghalang sekiranya Israel mengambil langkah mengilhak Tebing Barat, malah mendakwa pengiktirafan Palestin akan menyukarkan rundingan damai di Gaza.
Sejak mengisytiharkan kemerdekaan pada 15 November 1988, Palestin telah diiktiraf oleh 147 daripada 193 negara anggota PBB. Angka itu dijangka meningkat kepada 157 apabila beberapa negara lain termasuk Belgium, Perancis dan Portugal membuat pengumuman rasmi pada Perhimpunan Agung PBB minggu ini.
Penyiasat PBB baru-baru ini turut melaporkan bahawa Israel melakukan jenayah genosid di Gaza, dengan lebih 65,000 nyawa terkorban sejak serangan bermula pada Oktober 2023.
Sumber: TRT World & Agensi