PalestinSemasa

Sepanyol lulus embargo senjata penuh ke atas Israel, beri amaran terhadap pembunuhan di Gaza

Kerajaan Sepanyol meluluskan embargo senjata sepenuhnya ke atas Israel, sekali gus meningkatkan tekanan terhadap pentadbiran Perdana Menteri Benjamin Netanyahu berhubung serangan berterusan ke atas rakyat Palestin di Gaza.

Menteri Ekonomi, Carlos Cuerpo, berkata keputusan itu menjadi bukti komitmen politik Sepanyol dalam mempertahankan hak asasi manusia serta kepimpinan antarabangsa Madrid dalam isu Palestin, lapor El Pais pada Selasa.

Embargo tersebut, yang diumumkan lebih awal oleh Perdana Menteri Pedro Sanchez, melangkaui sekatan separa sebelum ini. Ia merangkumi larangan eksport senjata, transit bahan api, serta import produk dan perkhidmatan dari wilayah Palestin yang diduduki.

“Sepanyol sebelum ini mempunyai larangan separa seperti Slovenia, Belgium dan Belanda. Namun, dengan langkah ini, kami menjadi negara pertama yang melaksanakan larangan penuh eksport senjata, transit bahan api dan import produk dari wilayah pendudukan… sekali gus membuka jalan untuk Kesatuan Eropah,” kata parti gabungan sayap kiri Sumar dalam kenyataan.

Bagaimanapun, pemimpin parti Podemos, Ione Belarra, mengkritik langkah itu sebagai terlalu lewat.
“Embargo senjata sepatutnya dilaksanakan sebelum jenayah perang dilakukan, bukan selepas 60,000 mangsa tidak bersalah terkorban,” ujarnya.

Parti pembangkang konservatif, Partido Popular (PP), pula menangguhkan sokongan rasmi terhadap embargo tersebut sambil memberi amaran mengenai potensi risiko kepada keselamatan Sepanyol, memandangkan banyak komponen keselamatan negara itu berasal dari Israel.

Jurucakap kerajaan dan Menteri Pendidikan, Pilar Alegria, menegaskan kembali pendirian Sepanyol untuk mengiktiraf Palestin. “Seperti yang ditegaskan Perdana Menteri di PBB, mengiktiraf Palestin adalah satu keperluan mendesak. Sepanyol telah berbuat demikian pada Mei lalu dan kini lebih banyak negara – termasuk Perancis, Portugal, Kanada, UK dan Australia – mengikut jejak langkah tersebut,” katanya.

Sebelum ini, pada 9 September, Madrid melancarkan pakej sekatan sembilan perkara terhadap Israel, namun penangguhan berlaku terhadap embargo senjata penuh atas alasan teknikal dan undang-undang.

Sumber: Agensi

Related Articles

Back to top button