
Rejim Israel dilaporkan telah membunuh hampir 20,000 kanak-kanak Palestin dalam siri serangan kejam di Semenanjung Gaza sejak Oktober 2023, menurut kenyataan Pejabat Media Kerajaan Gaza pada Ahad.
Dalam laporan terbaharu itu, pejabat berkenaan memaklumkan bahawa mayat lebih 19,450 kanak-kanak telah dibawa ke hospital, manakala lebih 12,500 wanita turut terbunuh, termasuk kira-kira 10,160 mayat wanita yang telah dikenal pasti.
Kenyataan itu turut mendedahkan bahawa tentera Israel telah memusnahkan hampir 90 peratus wilayah Gaza dan kini menduduki lebih 80 peratus kawasan tersebut, dengan menggunakan sekitar 200,000 tan bahan letupan sejak perang bermula dua tahun lalu.
Selain korban awam yang tinggi, sekurang-kurangnya 1,670 petugas perubatan, 140 anggota pertahanan awam dan 255 wartawan turut terbunuh dalam serangan yang disifatkan sebagai pelanggaran terang-terangan undang-undang kemanusiaan antarabangsa.
Pejabat media itu juga melaporkan lebih 12,000 kes keguguran berlaku dalam kalangan wanita hamil akibat kebuluran dan kemusnahan sistem kesihatan yang didakwa dilakukan secara sengaja oleh Israel.
“Israel telah secara sistematik menyasarkan sektor kesihatan Gaza,” menurut kenyataan itu, yang menambah bahawa 38 hospital, 96 pusat kesihatan dan 197 ambulans telah dimusnahkan atau tidak lagi berfungsi.
Selain itu, 835 masjid musnah sepenuhnya dan 180 lagi rosak teruk, manakala tiga gereja diserang serta 40 tanah perkuburan dirobohkan. Pejabat itu turut mendakwa lebih 2,450 mayat telah dicuri dari tapak perkuburan oleh tentera Israel.
Kemusnahan turut melanda kawasan perumahan dengan 268,000 unit rumah musnah sepenuhnya, 148,000 rosak teruk, dan 153,000 lagi mengalami kerosakan sebahagian, menyebabkan lebih 288,000 keluarga kehilangan tempat tinggal.
Kebanyakan daripada 125,000 khemah pelarian yang didirikan kini dilaporkan tidak lagi sesuai untuk didiami akibat keadaan cuaca dan kekurangan bekalan asas.
Pejabat Media Gaza turut memaklumkan bahawa hampir dua juta rakyat Palestin telah dipindahkan secara paksa sejak permulaan serangan Israel, dengan 293 pusat perlindungan dan penempatan sementara turut menjadi sasaran pengeboman.
Laporan itu sekali lagi menegaskan bahawa tindakan Israel terhadap Gaza merupakan satu bentuk genosid dan pembersihan etnik, yang telah memusnahkan sebahagian besar infrastruktur, rumah ibadat serta kemudahan awam di wilayah berkenaan.
Sumber: Agensi Anadolu (AA)