
Malaysia mengekalkan dasar larangan eksport unsur nadir bumi mentah (REE) bagi memastikan pembangunan industri hiliran tempatan terus diperkukuh, kata Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz.
Beliau berkata Malaysia menggalakkan pelaburan asing serta perkongsian teknologi dalam aktiviti perlombongan REE mentah bagi membangunkan ekosistem industri domestik yang lebih bersepadu.
“Malaysia mengalu-alukan kerjasama strategik dengan Amerika Syarikat (AS) dan negara lain dalam pembangunan industri REE tempatan, termasuk potensi kerjasama tripartite antara Malaysia, AS dan Australia (Lynas),” katanya pada sesi penerangan khas berkaitan Perjanjian Perdagangan Timbal Balas (ART) Malaysia-AS di Dewan Rakyat hari ini.
Tengku Zafrul menjelaskan bahawa pelaksanaan perjanjian itu akan terus tertakluk kepada undang-undang serta dasar negara bagi melindungi sektor strategik dan membuka peluang baharu kepada rakyat serta industri domestik.
“Dasar kita ialah menghalang eksport bahan mentah murah yang tidak diproses supaya nilai tambah dapat diwujudkan di dalam negara. Prinsip yang sama digunakan untuk REE dan mineral kritikal. Selepas diproses mengikut piawaian tempatan, barulah produk hiliran bernilai tinggi boleh dieksport,” katanya.
Beliau turut menegaskan bahawa senarai perolehan di bawah ART bukan perkara baharu, sebaliknya merupakan cadangan perolehan sedia ada oleh syarikat yang tidak melibatkan dana kerajaan.
Antara contoh yang dikemukakan termasuk pembelian pesawat Boeing oleh Malaysia Aviation Group pada Mac 2025 serta cadangan perolehan gas asli cecair (LNG) oleh Petronas dari AS yang dibuat atas pertimbangan komersial bagi memastikan kestabilan bekalan dan memenuhi obligasi kontrak.
“Perolehan LNG daripada negara lain, termasuk AS, adalah keputusan komersial Petronas untuk memastikan bekalan stabil, kontrak ditunaikan dan negara tidak berdepan krisis tenaga. Ini bukan arahan politik daripada Washington,” katanya.
Tambah beliau, melalui perjanjian ART, Malaysia kini diiktiraf sebagai rakan kongsi rantaian bekalan yang dipercayai, yang akan mempercepat aliran perdagangan barangan strategik dan berteknologi tinggi.
“Sebagai rakan kongsi dipercayai, Malaysia berpotensi menarik lebih banyak pelaburan dari AS dan negara lain yang ingin mengeksport ke pasaran AS, sekali gus mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai hab pelaburan utama di rantau ini,” katanya.
Tengku Zafrul turut memaklumkan bahawa kerajaan AS akan memberi pertimbangan sewajarnya kepada Malaysia dalam penentuan hasil siasatan sektor semikonduktor di bawah Seksyen 232 Akta Pengembangan Perdagangan 1962 yang dijangka dimuktamadkan hujung tahun 2025.
Sumber: Bernama
 
  
  
  
 






