
BAITULMAQDIS — Ketua Peguam Tentera Israel, Mejar Jeneral Yifat Tomer-Yerushalmi, meletakkan jawatan selepas mendedahkan rakaman video yang menunjukkan insiden rogol beramai-ramai terhadap seorang tahanan lelaki Palestin di kemudahan penahanan Sde Teiman pada Ogos tahun lalu, lapor BBC.
Peletakan jawatan itu dilihat sebagai protes terhadap tekanan politik dari kepimpinan tertinggi Israel yang didakwa cuba menyekat siasatan telus berhubung dakwaan jenayah seksual tersebut.
Tindakan berani Tomer-Yerushalmi mendedahkan rakaman itu mencetuskan perdebatan etika besar-besaran dalam kalangan masyarakat Israel dan antarabangsa, sekali gus menggugat kredibiliti sistem perundangan ketenteraan Israel yang selama ini dikritik kerana bias terhadap tahanan Palestin.
Beberapa organisasi hak asasi manusia antarabangsa kini menuntut siasatan bebas dan telus dijalankan, serta perlindungan penuh kepada saksi dan pemberi maklumat dalam sistem ketenteraan yang berani tampil membongkar kebenaran.
Dalam surat peletakan jawatannya, Tomer-Yerushalmi berkata beliau bertanggungjawab sepenuhnya atas pelepasan bahan kepada media.
“Saya meluluskan pendedahan itu bagi menentang propaganda palsu terhadap pihak berkuasa penguatkuasaan undang-undang tentera,” katanya.
Beliau turut menegaskan bahawa kerajaan Israel bertanggungjawab menyiasat sebarang dakwaan kekerasan terhadap tahanan apabila wujud bukti yang munasabah.
Bagaimanapun, selepas peletakan jawatan itu diterima, Menteri Pertahanan Israel Katz menyambut keputusan tersebut, dengan berkata:
“Sesiapa yang menyebarkan fitnah terhadap tentera IDF tidak layak memakai pakaian seragam tentera.”
Rakaman video yang bocor itu pertama kali disiarkan oleh Saluran 12 Israel pada Ogos 2024, memperlihatkan bukti jelas mengenai penyalahgunaan kuasa dan layanan tidak berperikemanusiaan terhadap tahanan Palestin, isu yang sekian lama menjadi kecaman masyarakat antarabangsa.

Pendedahan ini sekali lagi menzahirkan krisis moral dan kemanusiaan dalam sistem ketenteraan Israel, serta mengundang persoalan terhadap sejauh mana keadilan dapat ditegakkan untuk mangsa Palestin yang terus menjadi sasaran keganasan.







