Laporan terbaharu mendedahkan bahawa pentadbiran bekas Presiden Amerika Syarikat Joe Biden telah menerima maklumat risikan yang menunjukkan Israel sedar tindakannya di Semenanjung Gaza melanggar undang-undang antarabangsa serta perundangan AS, namun tetap enggan mengurangkan sokongan ketenteraan dan politik terhadap rejim tersebut.
Menurut laporan eksklusif oleh HuffPost yang memetik beberapa bekas pegawai kerajaan AS, risikan tersebut termasuk penilaian dalaman kerajaan Israel sendiri mengenai serangan berskala besar ke atas Gaza dan sekatan ketat terhadap bantuan kemanusiaan, yang dianggap sebagai perlakuan haram terhadap penduduk Palestin.
Maklumat itu dilaporkan cukup serius hingga mencetuskan mesyuarat tergempar antara agensi yang turut dihadiri Biden. Dalam perbincangan itu, beberapa penasihat mencadangkan agar Washington mengehadkan perkongsian risikan dengan Israel bagi mengurangkan risiko liabiliti undang-undang terhadap AS, namun cadangan tersebut ditolak.
Seorang bekas pegawai kanan memberitahu HuffPost bahawa bahan risikan tersebut jelas menunjukkan “kerajaan Israel sedar sepenuhnya bahawa tindakan mereka menyalahi undang-undang.” Tambahan pula, Setiausaha Negara ketika itu, Antony Blinken, turut didakwa membangkitkan kebimbangan mengenai kemungkinan berlakunya pembersihan etnik terhadap rakyat Palestin — satu istilah yang menurut sumber Jabatan Negara, sering digunakan oleh pegawai agensi untuk menggambarkan operasi Israel di Gaza.
Beberapa pegawai Jabatan Negara dan Agensi Pembangunan Antarabangsa AS (USAID) cuba menegaskan bahawa dengan maklumat risikan tersebut, AS berisiko “secara sedar melanggar undang-undang antarabangsa” sekiranya terus menyokong Israel, namun gesaan itu diabaikan. Ada antara mereka juga bimbang bahawa sebarang cadangan mengehadkan sokongan kepada Israel akan menjejaskan masa depan kerjaya mereka.
HuffPost melaporkan bahawa Biden dan Blinken tidak memberikan sebarang komen terhadap pendedahan itu, manakala Kedutaan Israel di Washington serta Jabatan Negara AS juga tidak menjawab permintaan media untuk maklum balas.
Sejak Oktober 2023, serangan Israel di Gaza telah mengorbankan lebih 69,000 penduduk Palestin, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak, serta mencederakan lebih 170,000 yang lain.
Sumber: Anadolu Agency







