Proses pengundian awal bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kinabatangan dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Lamag bermula pagi ini dengan pembukaan satu pusat mengundi di Teratak Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kinabatangan tepat jam 8 pagi.
Seramai 196 anggota polis dijadualkan menunaikan tanggungjawab mereka hari ini untuk memilih wakil rakyat baharu. Pusat pengundian awal berkenaan akan beroperasi sepanjang hari dan dijadualkan ditutup pada jam 5 petang nanti.
PRK Parlimen Kinabatangan kali ini menyaksikan saingan tiga penjuru yang sengit. Calon Barisan Nasional (BN), Mohd Kurniawan Naim Moktar berdepan dengan calon Warisan, Datuk Saddi Abdul Rahman serta calon Bebas, Goldam Hamid. Sementara itu, bagi kerusi DUN Lamag, pertandingan satu lawan satu berlangsung antara calon BN, Mohd Ismail Ayob menentang calon Warisan, Mazliwati Abdul Malek.
Pilihan raya kecil ini diadakan susulan kekosongan kerusi akibat kematian penyandangnya, Allahyarham Datuk Seri Bung Moktar Radin, 66, pada 5 Disember tahun lalu.
Berdasarkan rekod Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Parlimen Kinabatangan mempunyai jumlah pengundi berdaftar seramai 48,722 orang, manakala DUN Lamag mencatatkan 13,899 pengundi. Hari pengundian utama bagi kedua-dua PRK berkenaan telah ditetapkan pada hari Sabtu ini.
SUMBER: BERNAMA







