
Kementerian Wakaf dan Hal Ehwal Agama Palestin mengutuk sekeras-kerasnya tindakan provokatif peneroka haram Israel yang menyuluh dinding Masjid Ibrahimi yang bersejarah di Hebron, Tebing Barat, dengan warna bendera Israel serta tulisan dalam bahasa Ibrani.
Dalam satu kenyataan rasmi, kementerian tersebut menyifatkan perbuatan itu sebagai “serangan terang-terangan” terhadap kesucian dan maruah rumah ibadat umat Islam berkenaan.
Aktivis hak asasi manusia, Aref Jaber, mendedahkan bahawa sekumpulan peneroka haram telah mengadakan satu acara khusus berhampiran masjid berkenaan sebelum bertindak memancarkan lampu berwarna biru dan putih pada struktur luarnya. Tindakan itu dilakukan bagi meraikan ulang tahun pendudukan Israel di Hebron sejak perang tahun 1967, diiringi dentuman muzik yang sangat kuat sehingga bergema di pekarangan masjid.
Agenda ‘Yahudisasi’ Melalui Kekerasan
Kementerian Wakaf Palestin menegaskan bahawa sebarang langkah atau pengubahsuaian yang dilakukan oleh pihak rejim di dalam dan luar kawasan masjid adalah tidak sah di bawah undang-undang antarabangsa.
“Ini adalah satu percubaan berbahaya untuk mengubah ciri-ciri sejarah masjid dan memaksakan realiti Yahudisasi baharu melalui kekerasan senjata. Masjid Ibrahimi ialah hak mutlak wakaf Islam, dan orang bukan Islam sama sekali tidak mempunyai hak ke atasnya,” tegas kenyataan itu.
Masjid Ibrahimi telah lama tertakluk kepada sekatan ketat oleh tentera Tel Aviv. Sejak tahun 1994, kawasan masjid telah dibahagikan secara paksa di mana 63 peratus diperuntukkan untuk penganut Yahudi dan hanya 37 peratus untuk umat Islam. Pembahagian itu dibuat ekoran insiden serangan berdarah oleh peneroka haram Israel yang mengorbankan 29 jemaah Palestin yang sedang bersolat.
Azan Disekat Hampir 100 Kali Sebulan
Sekatan yang dikenakan ke atas masjid itu dilaporkan semakin meruncing. Menurut data kementerian, pihak berkuasa Israel dikesan telah menyekat dan menghalang laungan azan di masjid berkenaan sebanyak 91 kali dalam tempoh bulan April sahaja.
Sehubungan itu, Palestin menggesa komuniti antarabangsa serta pertubuhan hak asasi manusia untuk segera campur tangan bagi menghentikan pencabulan berterusan terhadap tapak suci Islam. Pihak kementerian turut menyeru rakyat Palestin untuk memperkasakan kehadiran mereka di masjid tersebut bagi mempertahankan identiti Islam dan Arab daripada terus terhakis.
Ketegangan di Tebing Barat Meningkat
Situasi keselamatan di Tebing Barat dilaporkan terus memuncak sejak perang genosid di Gaza meletus pada Oktober 2023. Sehingga kini, dianggarkan sekurang-kurangnya 1,150 rakyat Palestin telah terkorban, sekitar 11,750 cedera, manakala hampir 22,000 yang lain ditahan oleh tentera Israel di wilayah tersebut.
Pada Julai 2024, Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) telah mengeluarkan fatwa perundangan yang mengisytiharkan pendudukan Israel ke atas wilayah Palestin sebagai haram, selain menuntut pengunduran sepenuhnya semua penempatan haram di Tebing Barat dan Baitulmaqdis Timur. — Anadolu Agency (AA)







