Menteri Keselamatan Negara Israel berhaluan kanan, Itamar Ben-Gvir, melontarkan ancaman terbuka apabila berikrar untuk mendesak hukuman mati ke atas tahanan Palestin serta mempercepatkan pengusiran paksa penduduk dari Gaza dan Tebing Barat sekiranya beliau dilantik sebagai menteri pertahanan dalam kerajaan masa depan.
Ancaman itu disuarakan menerusi muat naik rakaman video di platform X yang merakamkan detik ketika beliau secara provokatif bersemuka dengan seorang tahanan Palestin, Hassan Salameh, di dalam sel penjaranya. Salameh, yang ditahan sejak tahun 1996 dan menjalani hukuman penjara seumur hidup, menjadi sasaran retorik kebencian apabila Ben-Gvir secara terbuka menyatakan hasrat untuk menghukum mati tahanan tersebut.
Tuntut Portfolio Pertahanan dan Kehakiman
Ben-Gvir menegaskan bahawa parti politiknya, Otzma Yehudit (Kekuasaan Yahudi), akan meletakkan syarat mutlak untuk mendapatkan portfolio kementerian pertahanan dan kehakiman dalam sebarang rundingan pembentukan kerajaan pasca pilihan raya umum Knesset yang dijadualkan pada 27 Oktober ini.
Beliau turut mengulangi agenda ekstremnya untuk mempromosikan apa yang dinamakan sebagai “penghijrahan sukarela” — istilah yang disifatkan oleh pemimpin Palestin, negara Arab, dan masyarakat antarabangsa sebagai usaha pembersihan etnik dan pengusiran paksa penduduk dari tanah air mereka. Sebelum ini, Knesset telah meluluskan rang undang-undang kontroversi yang membenarkan pelaksanaan hukuman mati terhadap tahanan Palestin di bawah desakan kuat puak parlimen di bawah pimpinan Ben-Gvir.
Sumber: TRT World & Agensi







