
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, menegaskan bahawa tiada mana-mana pihak boleh dibiarkan merompak atau menyakau harta rakyat dan negara sekalipun mempunyai rekod jasa selama ratusan tahun.
Menerusi hantaran di laman Facebook pada Rabu, beliau menyatakan bahawa sikap berkompromi terhadap amalan rasuah semata-mata bersandarkan kepada jasa lampau adalah bercanggah sama sekali dengan ajaran Islam. Menurut beliau, sikap bertoleransi terhadap kemungkaran (tolerance for evil) merupakan punca kerosakan masyarakat, justeru golongan yang menentang rasuah perlu bersuara lebih lantang bagi menyampaikan mesej jelas bahawa tempat pelaku rasuah adalah di penjara.
Dalam hantaran sama, Perdana Menteri turut berkongsi petikan ucapannya pada Forum Ilmuwan MADANI Siri 14 mengenai bahaya budaya serba membiarkan (permissiveness) seperti yang pernah diungkapkan oleh tokoh pemikir dan mantan pemimpin Indonesia, Mohammad Natsir. Beliau mengingatkan bahawa kecenderungan memandang ringan salah laku kecil hingga akhirnya membiarkan ketirisan berskala bilion ringgit merupakan budaya merosakkan yang wajib dibanteras sepenuhnya.
Sumber Maklumat: BERNAMA







