
Malaysia mencatatkan pencapaian membanggakan apabila melonjak tujuh anak tangga ke kedudukan ke-27 daripada 70 buah ekonomi dalam penarafan IMD World Digital and AI Ranking (WDAIR) 2026, sekali gus muncul sebagai negara kedua terbaik di Asia Tenggara (ASEAN) di belakang Singapura.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menyatakan bahawa lompatan dari kedudukan ke-34 pada tahun lepas itu didorong secara langsung oleh peningkatan cemerlang 21 anak tangga ke tangga ke-14 dunia dalam penggunaan kecerdasan buatan (AI). Di samping itu, Malaysia melonjak 10 anak tangga ke tempat ke-28 bagi kecekapan digital, serta menduduki tempat ke-12 dunia bagi pelaksanaan strategi AI nasional.
“Malaysia turut mencatatkan kedudukan yang kukuh dalam pelbagai indikator global termasuk ke-18 bagi pembangunan tenaga kerja, kedua dunia bagi graduan sains, kelima bagi modal teroka, keenam bagi eksport berteknologi tinggi dan kelapan bagi insentif pelaburan AI,” kata beliau menerusi satu hantaran di Facebook, hari ini.
Sasaran negara kini tertumpu kepada Pelan Tindakan Malaysia Digital 2030 dan Pelan Tindakan AI Kebangsaan 2026–2030 (Negara AI 2030) yang dijangka mampu mewujudkan sehingga 300,000 pekerjaan baharu berkaitan AI dan menyumbang tambahan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sehingga 1.2 mata peratusan menjelang tahun 2030.
Bagi menyokong ekosistem ini, Belanjawan MADANI 2027 memperuntukkan sebanyak RM30 juta melalui Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) untuk membantu 4,000 perusahaan mikro, kecil, dan sederhana (PMKS) mengguna pakai AI dan mengautomasi operasi. Inisiatif tersebut turut merangkumi latihan serta pentauliahan untuk 5,000 profesional AI, di samping membekalkan 100,000 langganan AI percuma buat golongan belia.
Sumber Maklumat: BERNAMA






