Semasa

Malaysia kecam sekeras-kerasnya kenyataan hina Nabi Muhammad SAW

PUTRAJAYA : Tindakan biadab jurucakap rasmi parti Bharatiya Janata Party (BJP), menghina Rasulullah SAW dikecam sekeras-kerasnya oleh Majlis Hukama’ Muslimin cawangan Malaysia.

Datuk Seri Dr. Zulkfli Mohamad al-Bakri yang merupakan penasihat pertubuhan bebas tersebut menegaskan ucapan biadab itu adalah seruan yang jelas kepada ekstremisme dan menyebarkan Islamofobia.

“Saya menyeru umat Islam untuk bersatu hati dalam menzahirkan mesej bantahan secara aman, akan tindakan tersebut. Sesungguhnya Rasulullah SAW adalah insan yang paling mulia dan terpilih oleh-Nya.

“Mencintai Rasulullah SAW adalah termasuk dalam keimanan dan kemanisan iman. Justeru, wajib bagi kita mempertahankan Baginda SAW dan memuliakan-Nya,” katanya menerusi hantaran yang dimuat naik di Facebook rasmi beliau.

Terdahulu, parti tersebut pada Ahad menggantung jurucakapnya, Nupur Sharma yang didakwa membuat kenyataan menghina dalam debat televisyen dan Naveen Jindal atas komennya di media sosial.

Banyak negara mengutuk sekeras-kerasnya kenyataan berkenaan dan memanggil perwakilan New Delhi, malah sebuah pasar raya di Kuwait memunggah keluar produk India dari rak jualannya.

Related Articles

Back to top button