
Jabatan Peguam Negara (AGC) menggesa orang ramai menghentikan segera penyebaran maklumat tidak ditentusahkan dan gambar berkaitan kes kematian pelajar Tingkatan Satu, Zara Qairina Mahathir.
AGC dalam kenyataan hari ini menegaskan, penularan kandungan seumpama itu di media sosial boleh mengelirukan masyarakat dan menjejaskan kelancaran siasatan pihak berkuasa.
“Tindakan tidak bertanggungjawab ini berpotensi mengganggu proses siasatan yang sedang dijalankan,” menurut kenyataan tersebut.
AGC memaklumkan telah menerima laporan penuh siasatan awal kes itu pada 3 Ogos di Cawangan Sabah dan sehari kemudian di Ibu Pejabat AGC di Putrajaya.
Zara Qairina, 13, meninggal dunia di Hospital Queen Elizabeth I, Kota Kinabalu pada 17 Julai selepas ditemukan tidak sedarkan diri di dalam longkang berhampiran asrama sebuah sekolah agama di Papar pada awal pagi 16 Julai.
Kes tersebut kini dalam proses siasatan lanjut oleh Polis Diraja Malaysia selepas fail dikembalikan oleh AGC semalam.
— BERNAMA