KAJANG 8 April : “ Mak ada kuda dekat luar!”
“Jangan takut kami dari Polis Diraja Malaysia, kami meronda dengan kuda.”
Pada Isnin hinggga Khamis lalu penduduk sekitar Bandar Bukit Mahkota dikejutkan dengan kehadiran Pasukan Rondaan Berkuda, Polis Diraja Malaysia, PDRM.
Bagaimanapun setelah dimaklumkan oleh Pegawai Bertugas pasukan berkenaan, rondaan itu sebahagian daripada Program Community Policing atau gerak kerja PDRM untuk tujuan pencegahan jenayah, penduduk mula memahami.
Ramai penduduk teruja dengan kehadiran pasukan itu dan mengambil kesempatan untuk bergambar dengan pasukan rondaan berkuda berkenaan.
Ketua Polis Daerah Kajang Asisten Komisioner Mohd Zaid Hassan berkata, beliau bersama tiga lagi pegawai dari Unit Berkuda Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) Pangkalan Cheras melakukan rondaan di kawasan berkenaan bermula 8.30 hingga 10.30 pagi.
Menurut Mohd Zaid, pihaknya melakukan rondaan menggunakan kuda di taman perumahan, kawasan kilang serta premis perniagaan di daerah ini sekurang-kurangnya sekali sebulan.
Rondaan di kawasan perumahan dan premis perniagaan dilakukan sejauh sembilan kilometer.
Program Community Policing ini telah dilaksanakan oleh PDRM, sejak Mac 2008. Ia bertujuan menjalin kerjasama antara PDRM dengan masyarakat bagi mengenal pasti keadaan jenayah setempat. Malah ia menjadi satu langkah awal pihak polis untuk mendampingi masyarakat secara dekat bagi memberi keyakinan tentang kehadiran polis dalam usaha mencegah jenayah.
Rondaan berkuda itu dilaksanakan di sekitar kawasan perumahan di Bandar Bukit Mahkota dan Bandar Seri Putra, Kajang sebagai salah satu inisiatif PDRM dalam membendung jenayah di kawasan sekitar sekaligus mengenali masyarakat setempat.
Sementara itu empat pegawai rondaan berkuda turut berkongsi jenis dan baka kuda yang sesuai bagi rondaan itu, antaranya warmblood, polo dan Arab.
Sesuai dengan ketahanan haiwan itu, kuda juga sering digunakan bagi acara sukan berkuda dengan pelbagai cara tunggangan antaranya, hopping, canter dan trot.
Oleh Pelatih Fakulti Sains Komputer dan Matematik – Aqilah Othman