
Jabatan Peguam Negara (AGC) menegaskan tiada isu berbangkit mengenai kehilangan kelayakan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Ahli Dewan Rakyat atau Perdana Menteri, memandangkan beliau telah menerima pengampunan penuh daripada Yang di-Pertuan Agong ke-15.
Menurut AGC, perintah pengampunan itu menyatakan Anwar dianggap tidak pernah melakukan sebarang kesalahan, sekali gus mengekalkan kelayakannya sebagai wakil rakyat.
“Sebarang cabaran terhadap pemilihan seseorang Ahli Parlimen perlu dibuat melalui petisyen pilihan raya mengikut Perkara 118 Perlembagaan Persekutuan dan difailkan dalam tempoh yang ditetapkan di bawah Seksyen 38 Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954,” menurut kenyataan tersebut.
Kenyataan ini dikeluarkan sebagai respons kepada saman pemula yang difailkan bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, P. Waytha Moorthy, bagi mencabar kelayakan Anwar sebagai Ahli Parlimen Tambun dan pelantikannya sebagai Perdana Menteri pada 24 November 2022.
Waytha Moorthy berhujah bahawa pengampunan tersebut tidak membatalkan kehilangan kelayakan Anwar di bawah Perkara 48(1)(e) Perlembagaan Persekutuan.
AGC menjelaskan, Mahkamah Rayuan dalam kes Datuk Seri Anwar Ibrahim v Mohd Khairul Azam Abdul Aziz [2023] telah memutuskan bahawa Yang di-Pertuan Agong mempunyai kuasa mengampunkan sabitan dan hukuman.
Waytha Moorthy juga memohon mahkamah mengisytiharkan pemilihan Anwar sebagai Ahli Parlimen Tambun dalam PRU15 sebagai tidak berperlembagaan, terbatal dan tidak sah.
Sumber – Bernama