DomestikSemasa

Ahmad Zahid Lancar Buku ‘Ijtihad Demi Rakyat’

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi telah melancarkan buku berjudul Ijtihad Demi Rakyat di Pusat Konvensyen Taman Tamadun Islam di sini, malam ini.

Buku tersebut merupakan sebuah kompilasi petikan ucapan dan pencapaian utama Ahmad Zahid sepanjang perkhidmatan beliau sebagai Timbalan Perdana Menteri serta Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW).

Turut hadir memeriahkan Majlis Makan Malam dan Pelancaran buku tersebut ialah Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Rubiah Wang serta barisan pengurusan tertinggi kementerian.

Menurut kenyataan KKDW, buku ini menghimpunkan kerangka pemikiran serta pencapaian kementerian dalam menterjemahkan mandat kepimpinan kepada tindakan yang tersusun. Ia berteraskan bait ayat “Dari Langit Turunnya Mandat, kepada Desa Bakti Dipahat” yang dizahirkan menerusi penulisan naskhah berkenaan.

KKDW turut menjelaskan bahawa hasil nukilan Ijtihad Demi Rakyat mencerminkan perjalanan transformasi kementerian daripada fasa perancangan kepada pelaksanaan. Ia juga membuktikan komitmen berterusan KKDW sebagai sebuah institusi yang berfungsi secara bersepadu.

“Ia merangkumi kepimpinan, bahagian dan agensi pelaksana bagi memastikan dasar bukan sahaja dirangka dengan baik, tetapi dilaksanakan dengan berkesan demi kesejahteraan masyarakat,” menurut kenyataan itu.

— BERNAMA

Related Articles

Back to top button