PalestinSemasa

Al-Sisi Amaran Kesan Buruk Terhadap Barat Jika Penduduk Gaza Diusir

Presiden Mesir, Abdel-Fattah Al-Sisi pada Sabtu memberi amaran keras bahawa pengusiran lebih dua juta penduduk Palestin dari Semenanjung Gaza bakal mencetuskan kesan keselamatan, ekonomi, dan sosial yang buruk kepada Eropah serta dunia Barat.

Bercakap sempena sambutan ulang tahun ke-74 Hari Polis Mesir, Al-Sisi menegaskan bahawa tindakan memaksa penduduk keluar dari wilayah berkenaan bukan sahaja melenyapkan perjuangan Palestin, malah akan mendorong penghijrahan besar-besaran ratusan ribu orang ke negara-negara Barat.

Beliau memberi amaran bahawa implikasi daripada krisis tersebut akan membawa impak yang tidak mampu ditanggung oleh mana-mana pihak di peringkat antarabangsa.

“Mesir menolak sebarang cubaan untuk mengusir penduduk Palestin dari tanah air mereka sendiri. Amalan sistematik terhadap penduduk di wilayah yang diduduki ini perlu dihentikan segera,” katanya.

Dalam pada itu, Al-Sisi turut mengulangi komitmen Mesir untuk memastikan bantuan kemanusiaan disalurkan ke Gaza tanpa sebarang halangan. Beliau turut menggesa pelaksanaan penuh fasa kedua perjanjian gencatan senjata serta memulakan usaha pembinaan semula wilayah itu bagi menjamin kehidupan bermaruah buat penduduknya.

Situasi di Gaza kini memasuki fasa kritikal di bawah pelan damai 20 perkara yang diperkenalkan oleh pentadbiran Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump. Walaupun gencatan senjata antara Hamas dan Israel telah berkuat kuasa sejak Oktober 2025, fasa pertama perjanjian itu kerap menyaksikan kedua-dua pihak saling menuduh berlaku pelanggaran syarat.

Awal bulan ini, pentadbiran Trump mengumumkan pelancaran fasa kedua pelan damai tersebut yang kini mengalihkan fokus daripada sekadar gencatan senjata kepada agenda nyahtentera, tadbir urus teknokratik, dan pembangunan semula infrastruktur yang musnah.

Al-Sisi mengakhiri ucapannya dengan menyatakan bahawa Mesir akan terus berusaha memastikan gencatan senjata kekal sepenuhnya dan komited menggagalkan sebarang cubaan pihak tertentu untuk mengelak daripada mematuhi perjanjian damai yang telah dipersetujui.

BERNAMA

Related Articles

Back to top button