DomestikSemasa

Anak Muda Buktikan Kemahiran TVET ‘Laris’ Dalam Industri Pengecatan Pesawat

Berbekalkan kemahiran diperoleh di Institut Malaysia-China (MCI) GiatMARA Bagan Datuk, dua remaja dari Perak berjaya menembusi bidang pengecatan pesawat, selepas bermula dengan pengecatan kenderaan biasa.

Muhammad Haziq Mohd Hata dan rakannya Muhammad Daniel Mohammad, masing-masing berusia 19 tahun, kini berkhidmat sebagai jurupengecat pesawat di Excel Generation Maxima Sdn Bhd di Lapangan Terbang Subang sejak Mei lepas. Mereka memperoleh pendapatan bulanan antara RM2,500 hingga RM5,000, membuktikan bahawa Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) membuka peluang kerjaya yang luas.

Muhammad Haziq berkata peluang itu tercetus apabila seorang guru di MCI GiatMARA Bagan Datuk mencadangkan mereka menjalani latihan industri dalam bidang pengecatan pesawat ketika mengikuti kursus Baik Pulih dan Mengecat Kenderaan pada Julai 2024.

“Pada awalnya, kami berasa ragu-ragu kerana tiada pengalaman dalam bidang pengecatan pesawat, tetapi kami nekad menyahut cabaran dengan berbekalkan ilmu dipelajari di MCI GiatMARA,” katanya, sambil menambah perjalanan sejauh 200 kilometer dari Bagan Datuk untuk latihan industri tidak dianggap sebagai halangan.

Ditugaskan mengecat pesawat turboprop King Air dari Indonesia, Haziq berkata pengalaman itu sangat mengujakan kerana tanggungjawabnya jauh lebih besar berbanding mengecat kenderaan kecil. “Cabarannya juga meningkat, termasuk mengendalikan lapisan cat bertingkat, dan saya berpeluang ke luar negara untuk mengembangkan kepakaran,” katanya.

Bagi Muhammad Daniel pula, peluang melihat dan mengecat pesawat serta helikopter dari dekat merupakan ‘momen berharga’. Beliau berkata ilmu praktikal diperoleh di GiatMARA membolehkan setiap tugasan dilakukan dengan teliti dan secara berdikari.

Pengarah Urusan Excel Generation Maxima, Amran Musa, berkata program TVET membentuk tenaga mahir profesional yang membantu kelangsungan operasi syarikat selari dengan pertumbuhan industri penerbangan Malaysia. Amran menekankan kepentingan latihan praktikal ‘hands-on’ untuk melahirkan tenaga kerja profesional dan berkata TVET menawarkan prospek kerjaya yang luas serta menjamin masa depan anak muda.

Sumber: BERNAMA

Related Articles

Back to top button