
Sabah FC berjaya mengekang usaha Kuala Lumpur City FC (KL City) untuk meraih kemenangan kedua berturut-turut apabila kedua-dua pasukan terikat 1-1 pada perlawanan Liga Super 2025/2026 di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, Cheras, malam ini.
Sabah terpaksa bermain dengan 10 pemain pada separuh masa kedua selepas Dean Pelekanos dilayangkan kad merah dua minit sebelum rehat kerana terjahan berbahaya. KL City mengambil peluang itu untuk menekan pasukan pelawat dan mendahului perlawanan apabila Dane Ingham menjaringkan gol sendiri pada minit ke-65 ketika cuba menepis hantaran lintang pemain pertahanan KL City, Declan Lambert.
Namun, Gabriel Peres dari Sabah menyamakan kedudukan pada masa tambahan separuh masa kedua menerusi tandukan sepakan percuma Stuart Wilkin, sekaligus menamatkan perlawanan dengan keputusan seri 1-1.
KL City kini berada di kedudukan ketiga liga dengan empat mata, berkongsi mata dengan Terengganu FC (TFC) di tangga kedua, sementara juara bertahan Johor Darul Ta’zim (JDT) mendahului liga dengan enam mata.
Dalam perlawanan lain, Melaka FC turut berkongsi satu mata apabila seri 1-1 menentang Penang FC di Stadium Hang Jebat, Krubong. Penyerang import Brazil, Juan Douglas Teles Da Silva, muncul wira Melaka selepas menjaringkan gol penyamaan pada minit ke-69.
Sementara itu, TFC terikat 2-2 dengan PDRM FC di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin. Pasukan pelawat terlebih dahulu mendahului menerusi Doumbia Henri pada minit ke-12 dan 53, sebelum TFC merapatkan jurang menerusi Muhammad Azam Azmi Murad pada minit ke-63 dan Yan Bella menyempurnakan sepakan penalti pada minit ke-89 untuk menyamakan kedudukan.
— BERNAMA