PalestinSemasa

‘Anjing pun tak boleh hidup macam ni’: Hujan menambah kesengsaraan rakyat Palestin di Gaza

Di sebuah kem untuk mereka yang terpaksa meninggalkan rumah akibat perang antara Israel dan Hamas, Ayman al Jueidi cuba mengalihkan air hujan yang mengumpul dan membebani tempat perlindungan sementaranya.

Sebelum masuk kembali, Ayman berhenti untuk menangkap beberapa titik hujan dengan mulutnya dan memercikkan sedikit pada dirinya.

Seperti kebanyakan orang lain yang terperangkap dalam krisis kemanusiaan di Gaza, dia tidak mandi selama beberapa hari.

Sehinggalah pada hari Selasa lepas, orang-orang di selatan tersedar dengan satu lagi malapetaka – hujan membasahi barang-barang mereka yang tidak seberapa dan mengancam membawa penyakit bawaan air ketika ia bertakung.

“Kami benar-benar kuyup, semua pakaian kami basah, tilam kami, selimut kami juga, anjing pun tak boleh hidup macam ni,” kata Ayman, yang telah menempatkan dirinya di halaman sekolah PBB di Rafah di selatan Gaza.

Mereka yang mempunyai cadar kalis air sedang menopang rumah sementara mereka. Yang lain menggunakan beg plastik untuk menguatkan perlindungan mereka terhadap hujan.

“Baju anak-anak saya basah kuyup dan saya tiada apa-apa untuk ditukar, nanti jatuh sakit,” kata Jueidi yang hanya memakai t-shirt nipis.

“Kita nak tidur mana? Dah tiga hari kita tak makan apa-apa.”

“UNRWA memberi makanan dalam tin dan biskut, tetapi anak kami tidak pernah kenyang, kami memerlukan roti,” katanya.

“(Sebelum ini) kami tidak mempunyai air, dan (sekarang) tiba-tiba kami lemas,” kata Souha Hassan, yang tinggal di bawah khemah sejak 7 Oktober.

Sejak itu, tentera Israel telah mengebom Gaza siang dan malam, membunuh lebih 11,200 orang, kebanyakannya orang awam, menurut Kementerian Kesihatan di Gaza.

PBB berkata setiap pusat perlindungan sekolahnya di selatan Gaza kini penuh dengan kira-kira 6,000 orang yang kehilangan tempat tinggal.

Pegawai PBB menambah 125 orang berkongsi tandas di selatan yang terkepung, dengan lebih 700 berkongsi air pancuran.

Krisis bahan api

PBB telah memberi amaran tentang krisis taun yang berpunca daripada kekurangan bahan api.

Air minuman tidak lagi boleh dibawa masuk, enjin pam kumbahan tidak dapat diisi minyak, dan hospital yang bergantung kepada penjana mula ditutup.

“Dalam tempoh 48 jam akan datang, ia akan terhenti, tiada apa yang dapat kami lakukan,” kata ketua UNRWA di Gaza, Thomas White.

“Itulah realiti operasi bantuan yang kekurangan sumber untuk berkhidmat kepada orang yang memerlukan.”

Hassan khuatir perkara terburuk akan berlaku. “Kami tidak mempunyai pakaian musim sejuk kerana kami meninggalkan rumah kami tanpa apa-apa dan kini semua barang kami basah,” katanya.

“Dan ini hanya permulaan. Apa yang akan berlaku pada musim sejuk, apabila hujan lebih lebat? Anak-anak kita sudah lemah kerana mereka tidak cukup makan, ia akan menjadi dahsyat.”

Di sekelilingnya, walaupun terdapat risiko, beberapa orang cuba memanfaatkan hujan. Seorang lelaki mengumpul air yang mencurah keluar dari longkang.

Seorang lagi cuba menghalang titisan air yang jatuh ke atas seorang wanita yang membakar roti di atas api kayu kecil.

Di Gaza yang dikepung sepenuhnya oleh Israel, tepung kini dijual dengan harga kira-kira $200.

SUMBER: TRTWORLD DAN AGENSI

 

Related Articles

Back to top button