PalestinSemasa

AS Tangguh Visa Rakyat Palestin Cedera Selepas Tekanan Pengaruh Sayap Kanan

Amerika Syarikat (AS) menangguhkan pemberian visa pelawat kepada rakyat Palestin dari Gaza selepas tekanan daripada pengaruh sayap kanan, Laura Loomer, yang mendakwa individu berkenaan mempunyai kaitan dengan Hamas.

Dalam kenyataan di platform X, Jabatan Negara yang dipimpin Setiausaha Negara Marco Rubio berkata semua visa pelawat dari Gaza dihentikan sementara bagi membolehkan semakan penuh terhadap proses kelulusan visa kemanusiaan perubatan.

Loomer sebelum itu mengecam kemasukan sekumpulan kanak-kanak Palestin yang cedera parah akibat serangan Israel ke AS untuk rawatan perubatan, sambil menuduh mereka “pro-Hamas” dan mempunyai kaitan dengan Ikhwanul Muslimin serta Qatar, tanpa sebarang bukti.

Sasaran kecaman itu ialah HEAL Palestine, sebuah badan amal berpangkalan di AS, yang minggu lalu membantu 11 kanak-kanak Palestin bersama penjaga mereka tiba dengan selamat di Amerika. Badan itu menyifatkan misi tersebut sebagai “pemindahan perubatan terbesar kanak-kanak dari Gaza ke AS.”

Langkah Jabatan Negara itu mencetuskan perdebatan apabila beberapa ahli politik Republikan memuji Loomer atas tindakannya, termasuk Ahli Kongres Randy Fine yang menyifatkannya sebagai kejayaan tekanan politik.

Loomer sebelum ini turut dikaitkan dengan pengaruh terhadap keputusan politik AS, termasuk pemecatan pegawai kanan keselamatan negara serta pembatalan tawaran kerja di institusi tentera atas desakan beliau.

Sumber: AFP / TRT Global

Related Articles

Back to top button