DuniaSemasa

Badan media Maghribi berang dengan liputan gempa oleh akhbar terkenal Perancis

Marrakesh – Pertubuhan media Maghribi telah memfailkan aduan terhadap dua akhbar Perancis kerana liputan mereka mengenai gempa bumi dahsyat yang melanda negara itu awal bulan ini.

Majlis Akhbar Kebangsaan Maghribi [NPC] memaklumkan mereka memfailkan aduan kepada  Press and Mediation Ethics Council di Perancis, di mana mereka menggesa tindakan sewajarnya terhadap Charlie Hebdo dan Liberation kerana “liputan tidak beretika” dan melanggar etika kewartawanan semasa liputan terhadap malapetaka itu.

NPC berkata Charlie Hebdo menerbitkan karikatur 15 September yang secara sinis menuduh “kurangnya solidariti dan sumbangan untuk menyokong mangsa gempa bumi di Maghribi.”

NPC juga berkata Liberation memaparkan kisah seorang mangsa gempa wanita dengan tajuk: “Tolong kami, kami mati dalam diam,” tetapi selepas pengesahan, NPC mendapati akhbar menerbitkan kandungan yang bercanggah dengan kata-kata sebenar beliau.

Gempa dahsyat

Gempa bumi berukuran 6.8 magnitud melanda wilayah Al Haouz di selatan Marrakesh pada 8 September lalu, mengorbankan hampir 3,000 orang dan mencederakan ribuan lagi.

Kerajaan Maghribi dalam satu kenyataan berkata ia memperuntukkan $11.7 bilion untuk membantu 4.2 juta penduduk yang terjejas akibat gempa itu dalam tempoh lima tahun.

Dana itu akan digunakan untuk menempatkan semula orang yang terjejas, membina semula rumah dan memulihkan infrastruktur, kata kenyataan yang diterbitkan pada mesyuarat yang dipengerusikan oleh Raja Mohammed VI.

Maghribi menolak kebanyakan tawaran bantuan dari negara lain tetapi menerima bantuan dari Sepanyol, UK, Qatar dan Emiriah Arab Bersatu yang mengambil bahagian dalam usaha menyelamat.

 

SUMBER: TRTWORLD DAN AGENSI

 

Related Articles

Back to top button