
Kuala Lumpur: Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mencadangkan penggunaan Bahasa Melayu sebagai bahasa kedua ASEAN yang akan dibincangkan bersama pemimpin ASEAN.
Perdana Menteri berkata, ia adalah usaha untuk memartabatkan bahasa ibunda itu di peringkat antarabangsa.
Tambahnya lagi, selain Malaysia, Bahasa Melayu turut digunakan sebagai bahasa pengantar oleh beberapa negara jiran seperti Indonesia, Brunei, Singapura, Selatan Thailand, Selatan Filipina serta di sebahagian Kemboja.
“Jadi, tiada sebab kita tidak boleh jadikan Bahasa Melayu sebagai satu bahasa rasmi ASEAN. Kita akan selaraskan perkara ini dan saya akan bincang dengan pemimpin negara ASEAN yang memang menggunakan Bahasa Melayu, supaya mereka bersetuju jadikan Bahasa Melayu sebagai bahasa kedua ASEAN
“Selepas itu, kita akan bincang pula dengan pemimpin ASEAN lain, yang juga mempunyai penduduk yang menggunakan Bahasa Melayu sebagai bahasa pertuturan di negara mereka,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Negara, hari ini.
Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan tambahan Senator Datuk Seri Zurainah Musa, berhubung kerjasama kerajaan dengan pemimpin negara ASEAN untuk menyelaraskan penggunaan Bahasa Melayu di peringkat ASEAN.
-Agensi
Oleh Azrina Amri – Wartawan Pelatih Ummah Today