JERUSALEM – Banduan Palestin di penjara Israel, mengumumkan semalam, mereka akan melancarkan mogok lapar, bagi membantah keputusan mengurangkan kekerapan lawatan keluarga mereka.
Mogok lapar, yang akan bermula pada Khamis, menuntut penarikbalikan keputusan oleh Menteri Keselamatan Negara Israel, Itamar Ben-Gvir, untuk mengurangkan lawatan keluarga daripada sekali sebulan kepada dua bulan sekali.
Perkhidmatan Penjara Israel berkata dalam satu kenyataan bahawa, ketuanya, Katy Perry, telah “menerima” arahan Menteri Ben-Gvir, tetapi tidak menyatakan bila langkah baharu itu akan dilaksanakan. Perkhidmatan itu berkata, Perry “akan berusaha untuk menjalankan penilaian situasi organisasi, bagi menentukan cara untuk melaksanakannya.”
Pada hari Jumaat, pejabat Perdana Menteri Benjamin Netanyahu dalam satu kenyataan berkata, langkah itu mungkin tidak dilaksanakan. Pejabat itu menjelaskan bahawa “belum ada keputusan dibuat” mengenai isu itu, dan keputusan sedemikian “tidak akan dibuat sehingga perbincangan khas mengenai perkara itu, dengan penyertaan semua badan keselamatan, yang Netanyahu telah dijadualkan minggu depan.”
Menurut laporan Julai dari Majlis Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, terdapat kira-kira 5,000 warga Palestin di penjara Israel, termasuk 160 kanak-kanak. Di kalangan banduan ini, kira-kira 1,100 telah ditahan tanpa pertuduhan atau perbicaraan.