DomestikSemasa

Banjir di Hulu Langat: Polis tutup sementara laluan di Sungai Serai dan Nanding

Polis menutup sementara dua laluan di kawasan Sungai Serai dan Nanding, Hulu Langat, Selangor berikutan banjir akibat hujan berterusan sejak awal pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Kajang ACP Naazron Abdul Yusof berkata pihaknya menerima laporan kejadian banjir pada pukul 6.18 pagi. Laluan itu ditutup bagi mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini berlaku akibat paras air yang semakin meningkat.

Menurut beliau, paras air di Batu 18 menunjukkan penurunan, manakala di kawasan Batu 14 masih dinaiki air. Polis telah menempatkan anggota bagi memantau situasi berkenaan.

Selain itu, polis bersama penduduk setempat membantu menghantar calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) ke Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Abdul Jalil dan SMK Dusun Nanding kerana laluan ke sekolah dinaiki air. Setakat ini, semua calon di kawasan terjejas telah dihantar ke pusat peperiksaan, manakala seorang calon lagi dalam proses penghantaran.

ACP Naazron berkata pusat pemindahan sementara (PPS) telah diaktifkan dan menasihatkan penduduk yang terjejas segera berpindah bagi keselamatan diri.

Sumber: BERNAMA

Related Articles

Back to top button