DomestikSemasa

Bapa Perlu Main Peranan Lebih Besar Dalam Aspek Emosi, Pendidikan Anak – LPPKN

Perubahan landskap kehidupan pada masa kini menuntut golongan bapa untuk tidak lagi sekadar menjadi pencari nafkah, sebaliknya memainkan peranan yang lebih besar dalam aspek komunikasi, sokongan emosi, dan pendidikan anak-anak.

Pengarah Bahagian Kesejahteraan Keluarga Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN), Rosmonaliza Abdul Ghani, menegaskan bahawa figura seorang bapa kini berfungsi sebagai ejen perubahan yang penting dalam membentuk institusi keluarga yang harmoni serta berdaya tahan. Menurut beliau, komunikasi yang berkesan dalam rumah tangga amat kritikal bagi memastikan peranan bapa kekal relevan dalam mendidik anak-anak.

“Kalau dahulu ayah dilihat sebagai pemberi nafkah, kini mereka juga merupakan ejen perubahan dan figura penting dalam membentuk sebuah keluarga,” katanya dalam Podcast KASIH Lensa Keluarga bertajuk “Sehebat Kasih Bapa”.

Turut menampilkan pengasas dan Ketua Aktivis Pertubuhan Jejak Jalanan, Abbe Hae, sesi tersebut mendedahkan bahawa trend keterbukaan golongan lelaki untuk mendapatkan bantuan profesional dan mengikuti sesi kaunseling bersama keluarga kini semakin menunjukkan peningkatan. Bagi menyokong keperluan ini, LPPKN menyediakan pelbagai program merangkumi khidmat kaunseling, terapi, dan ujian personaliti untuk membantu bapa yang menghadapi tekanan kewangan mahupun masalah kesihatan mental.

Ketiadaan Figura Bapa Punca Masalah Sosial

Sementara itu, Abbe Hae berkongsi pengalamannya mendampingi golongan miskin bandar dan anak jalanan, di mana beliau mendapati banyak masalah sosial berakar umbi daripada ketiadaan figura bapa yang berfungsi dalam sesebuah keluarga. Faktor seperti penyalahgunaan dadah oleh ketua keluarga serta impak kemiskinan tegar dikenal pasti menjadi penyumbang utama kepada runtuhnya benteng institusi kekeluargaan.

Beliau menyarankan agar pendekatan yang digunakan untuk mendekati golongan bapa yang bermasalah mestilah berteraskan hikmah dan kasih sayang, bukannya kaedah yang menghukum.

“Apabila seseorang itu mempunyai ego, kita perlu mendekatinya dengan kasih sayang. Pendekatan berteraskan agama dan nilai kekeluargaan juga mampu membantu individu kembali memainkan peranan sebagai ketua keluarga yang bertanggungjawab,” jelas Abbe.

Rosmonaliza turut menambah bahawa pengorbanan seorang bapa sewajarnya dihargai oleh pasangan dan anak-anak sebelum terlambat. Beliau mengingatkan golongan bapa agar sentiasa meluangkan masa berkualiti bersama keluarga kerana kehadiran fizikal dan emosi mereka jauh lebih bermakna buat anak-anak berbanding kemewahan harta benda semata-mata.

SUMBER: BERNAMA

Related Articles

Back to top button