KUALA LUMPUR : Persatuan Kebajikan Kanser Payudara Malaysia (BCWA) telah melantik Lim Kim Foong (Kim Lim) sebagai presiden terbaharunya.
Sebagai seorang bekas pesakit kanser payudara, Kim merupakan seorang ahli aktif BCWA dan kerap berkongsi pengalaman serta menghulurkan sokongan dan bantuan kepada komuniti kanser payudara di Malaysia.
“Saya gembira dan berbesar hati kerana dipilih sebagai presiden bagi sebuah organisasi yang hebat dan disanjungi ramai, dan disokong oleh sebuah pasukan yang amat bersemangat dan mempunyai ramai penderma serta rakan kongsi yang berdedikasi. Matlamat saya adalah untuk meningkatkan pencapaian kami sepanjang 36 tahun ini dan terus memberikan sokongan emosi, sosial dan material kepada komuniti kanser payudara di Malaysia,” katanya.
“Di BCWA kami memahami bahawa diagnosis kanser payudara boleh menjadi sesuatu yang mencabar dari segi emosi dan fizikal. Namun, pesakit tidak perlu mengharungi cabaran ini seorang diri.
“Terdapat pelbagai jenis sokongan selain daripada rawatan yang boleh membantu pesakit hidup bahagia dan berhubung dengan program tempatan serta pesakit kanser payudara lain.
“Saya telah melihat sendiri perubahan besar yang boleh berlaku melalui kerjasama bersama rakan kongsi hebat dalam mengurangkan risiko kematian pramatang dengan menyediakan pendidikan awam, pengesanan awal kanser payudara dan panduan bagi wanita untuk medapatkan rawatan lanjut dan tepat pada masanya.
Beliau berkata sedemikan dalam Majlis Apresiasi dan Makan Malam BCWA yang diadakan di sebuah restoran terkemuka di Kuala Lumpur.
Turut serta bersama Kim dalam jawatankuasa eksekutif BCWA yang majmuk dan inklusif adalah Naliza Fahro Rozi sebagai Naib Presiden; Sam Sinnan sebagai Bendahari; dan Swee Lee sebagai Setiausaha.
Kim telah pun mula bertugas pada 26 Mac 2022 dan akan berkhidmat sehingga Mac 2024 dan akan menggantikan presiden terdahulu, Ranjit Kaur yang akan kekal aktif dalam BCWA sebagai mantan presiden.
BCWA merupakan sebuah pertubuhan yang menyasarkan untuk mengurangkan risiko kematian pramatang dalam kalangan wanita akibat kanser payudara.
Mereka menawarkan melalui Perkhidmatan Jangkauan Komuniti dan Penjagaan Sokongan Pesakit bagi meningkatkan kualiti hidup bagi individu yang terjejas oleh kanser tersebut.
Aktiviti mereka termasuk sokongan psikososial dan kaunseling untuk individu yang baru didiagnosis dan ahli keluarga mereka, serta aktiviti pemulihan dan pemulihan untuk pesakit kanser payudara supaya mereka boleh kembali ke kehidupan normal semula.