
BEIRUT : [VIDEO] Tragedi hitam yang akan terus terpahat dalam ingatan warga Lubnan, dan Beirut khususnya – letupan pelabuhan yang meragut ratusan nyawa dan meninggalkan 300,000 terpaksa bangkit kembali berjuang untuk hidup selepas premis kediaman dan komersil rosak teruk digegar kejutan letupan.
Peristiwa itu terus akan dikenang dunia, dan disambut setiap bulan oleh mangsa dan keluarga mangsa.
Empat hari lalu 200 orang hadir di hadapan lokasi kejadian menyebakan kesesakan berlaku di jalanan sekitar kawasan yang menyaksikan jeritan tanngisan keluarga mangsa.
Namun sebaik beberapa hari mengenang luka pahit tragedi itu, Beirut sekali lagi digegar letupan mengorbankan empat orang selepas tangki minyak meletup di kawasan kejiranan Tariq al Jdideh pada Jumaat waktu tempatan.
Video berlegar di media sosial menunjukkan ramai orang awam menjerit panik ketakutan.
Kejadian menyebabkan penduduk panik mengimbau mimpi ngeri hentaman dua bom kuat Ogos lalu, satu daripadanya menyamai ledakan Hiroshima di Jepun.
Palang Merah Lubnan berkata 30 lagi cedera semalam, dan mereka bergegas menyelamatkan mangsa yang terperangkap dalam bangunan yang terbakar.
Sebuah tangki minyak disel yang diletakkan di bawah ruang bawah tanah sebuah apartmen meletup.
Beberapa orang dirawat kerana terhidu asap tebal akibat letupan manakala 20 orang lagi dibawa ke hospital untuk rawatan.
Kepulan asap dapat dilihat sejauh beberapa kilometer.
Pasukan penyelamat terpaksa menggunakan tangga bagi mengeluarkan orang awam yang terperangkap di dalam bangunan terutama warga tua.
Rata-rata penduduk berkata mereka sentiasa bimbang setiap kali letupan sedemikian berlaku kerana masih mengingati kejadian lampau yang meletakkan mereka dalam kesukaran hingga kini.