DomestikSemasa

Belanjawan 2023 : Mengambil langkah bijak mengurangkan hutang, utamakan rakyat bawahan

SHAH ALAM: Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) mengalu-alukan Belanjawan Madani yang dibentang oleh Menteri Kewangan Dato’ Seri Anwar Ibrahim semalam dengan mengambilkira segala pedoman Al Quran serta mengatur belanjawan yang pragmatik berdasar situasi semasa diperingkat nasional dan global.

Kekangan kewangan yang terbatas yang memerlukan dasar fiskal yang ketat dan menutup segala ruang ketirisan serta penyelewengan sangat diperlukan untuk memastikan negara bergerak diatas landasan yang betul.

Menurut Presiden MAPIM, Mohd Azmi Abdul Hamid atau lebih dikenali sebagai Cikgu Azmi, belanjawan kali ini menekankan dan memberi fokus kepada nasib golongan bawahan adalah sangat tepat.

“Belanjawan itu mengguna kaedah cukai yang kaya pada kadar munasabah untuk membantu yang miskin. Kaedah ini harus diterima dengan sikap terbuka agar usaha merapatkan jurang kaya miskin dapat dicapai. Ini berkait dengan sifat ihsan dalam konsep Madani yang perlu diterjemahkan dalam belanjawan negara,

“Keperluan manjadikan kebajikan rakyat bawahan sebagai tumpuan belanjawan sangat penting kerana golongan  ini sangat memerlukan jaring keselamatan sosial ( social safety nate ) yang kukuh untuk melangsungkan kehidupan.Pengumuman veteran tentera dan polis mengenai perumahan juga sangat dialu-alukan”, tegas Cikgu Azmi.

MAPIM mengalu-alukan apabila Perdana Menteri itu mengistiharkan untuk menamatkan putaran miskin tegar yang berpanjangan. Dengan menggunakan polisi yang tegas serta pendekatan yang telus dan berkesan.

Pengumuman Perdana Menteri di pembentangan belanjawan, banyak menyentuh isu rakyat bawahan yang sangat memerlukan bantuan dan keadaan yang kondusif untuk mereka bangkit semula.

MAPIM Malaysia bersetuju nilai madani diterapkan disemua institusi kerajaan dan rakyat dalam belanjawan ini. Pemacuan ekonomi tidak akan bermakna jika ia tidak berteraskan keluhuran nilai manusia yang kukuh.

 

Related Articles

Back to top button