Semasa

Bilangan penyakit tidak berjangkit sangat membimbangkan

KUALA LUMPUR : Bilangan penduduk yang menghidap penyakit tidak berjangkit (NCD) seperti diabetes dan darah tinggi sangat membimbangkan.

Menurut Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin, kajian Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan (NHMS) menganggarkan kira-kira 3.4 juta orang menghidap dua NCD pada 2019.

“Berdasarkan Pelan Strategik Penyakit Tidak Berjangkit Kebangsaan 2016-2025, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memberi tumpuan kepada kaedah pencegahan dan kawalan NCD pada peringkat awal.

“Dasar, pelan dan perkhidmatan berasaskan ‘Life Course Approach’ merangkumi keperluan kesihatan dan sosial di semua fasa kehidupan, bermula dengan kesihatan dan pemakanan ibu,” katanya dalam maklum balas bertulis di Dewan Rakyat.

Beliau menjawab soalan Dr Azman Ismail (PH-Kuala Kedah), yang meminta KKM menjelaskan dasar NCD Malaysia.

Menurut Khairy, ‘Life Course Approach’ juga meneruskan amalan pemakanan bayi baru lahir termasuk promosi penyusuan susu ibu dan tabiat hidup sihat serta program pemerkasaan untuk murid sekolah dan institusi pengajian tinggi (IPT).

“Selain itu, Agenda Nasional Malaysia Sihat (ANMS), yang telah diluluskan oleh Kabinet pada 7 Ogos tahun lepas merupakan inisiatif kerajaan baharu yang disasarkan untuk menjadikan rakyat Malaysia lebih sihat dan kaya melalui budaya hidup sihat dan kelestarian alam sekitar yang menggalakkan kehidupan sihat.

“Kementerian Kesihatan juga menubuhkan Jawatankuasa Kabinet ANMS, yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri dan berfungsi sebagai platform peringkat tertinggi untuk membincangkan dan mengenal pasti dasar dan tindakan susulan untuk menangani NCD yang memerlukan penyertaan aktif pelbagai kementerian dan agensi, ” katanya.

-AGENSI

Oleh Ummi Fatihah wartawan pelatih UiTM

 

Related Articles

Back to top button