DomestikSemasa

Bung Moktar pergi meninggalkan warisan perjuangan rakyat Sabah

Sabah berduka dengan pemergian Datuk Seri Bung Moktar Radin, seorang tokoh politik yang terkenal dengan kelantangan, ketegasan dan keberanian dalam memperjuangkan hak rakyat negeri ini. Beliau menghembuskan nafas terakhir pada jam 1.46 pagi di sebuah hospital swasta di Kota Kinabalu, mengakhiri perjalanan panjang seorang pemimpin yang sinonim dengan seruan ‘Radu Tatap Radu’ dan ‘Lawan Tetap Lawan’.

Sepanjang kerjayanya, Bung Moktar menonjol sebagai suara rakyat Sabah dalam isu keperluan asas seperti pembangunan infrastruktur, bekalan air bersih, pembaikan jalan raya serta peluang ekonomi luar bandar. Beliau dilahirkan pada 15 September 1959 di Sukau, Kinabatangan dan memiliki Ijazah Sarjana Falsafah dalam bidang Analisis Polisi dan Keselamatan dari Universiti Kebangsaan Malaysia.

Perjalanan beliau bermula dalam perkhidmatan awam di Jabatan Hal Ehwal Khas Sandakan sebelum berkhidmat sebagai Pegawai Luar Bandar MARA Sandakan. Pada 1994, beliau dilantik sebagai Setiausaha Politik di Kementerian Kewangan Sabah, membuka jalan kepada penglibatan yang lebih luas dalam pentadbiran negeri.

Bung Moktar juga pernah mengetuai FELCRA sebagai pengerusi dan memimpin Persatuan Bola Sepak Sabah, memperlihatkan peranannya melangkaui politik. Pada PRN Sabah 2020, beliau memenangi kerusi DUN Lamag sebelum dilantik sebagai Timbalan Ketua Menteri dan Menteri Kerja Raya Sabah. Beliau sekali lagi mempertahankan kerusi itu pada PRN Sabah ke-17 baru-baru ini dengan majoriti tipis 153 undi dalam saingan enam penjuru.

Di peringkat nasional, Bung Moktar mula menjadi Ahli Parlimen Kinabatangan pada 1999 dan mengekalkan kerusi itu selama enam penggal berturut-turut. Beliau turut memainkan peranan dalam UMNO sebagai Ahli Majlis Tertinggi dan Ketua UMNO Bahagian Kinabatangan, selain menjadi Timbalan Pengerusi BNBBC yang menonjolkan pengaruh beliau dalam Parlimen.

Pemergiannya meninggalkan kekosongan besar dalam politik Sabah, terutama bagi mereka yang melihatnya sebagai seorang pemimpin yang tidak pernah gentar bersuara demi rakyat. Allahyarham meninggalkan isteri Datin Seri Nor Asidah Alimuddin dan Datin Seri Zizie Izette Abdul Samad, serta tujuh orang anak.

Sumber: Bernama

Related Articles

Back to top button