EkonomiSemasa

Bursa Malaysia Antara 50 PLC Terbaik ASEAN, Lima Terbaik di Malaysia  

Bursa Malaysia Bhd diiktiraf sebagai salah sebuah daripada 50 Syarikat Senaraian Awam (PLC) terbaik di ASEAN dan antara lima PLC terbaik di Malaysia pada Anugerah Tadbir Urus Korporat ASEAN yang diadakan semalam.  

Ketua Pegawai Eksekutif Bursa Malaysia, Datuk Fad’l Mohamed, berkata pengiktirafan ini mencerminkan komitmen berterusan bursa dalam menegakkan piawaian tertinggi dalam tadbir urus, ketelusan, dan akauntabiliti.  

“Tadbir urus korporat yang kukuh adalah asas kepada pasaran modal yang berdaya tahan dan dipercayai. Bursa Malaysia menekankan kecemerlangan tadbir urus dalam bursa dan seluruh ekosistem sebagai teras kepada keyakinan pelabur dan pertumbuhan ekonomi mampan,” katanya dalam kenyataan hari ini.  

Anugerah Tadbir Urus Korporat ASEAN, anjuran Minority Shareholders Watch Group Malaysia, mengiktiraf PLC ASEAN yang cemerlang dalam tadbir urus berdasarkan Penilaian Serantau Kad Skor Tadbir Urus Korporat ASEAN (ACGS) 2024 yang ketat. Acara ini dirasmikan oleh Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.  

Dibangunkan dengan kerjasama Bank Pembangunan Asia, ACGS adalah inisiatif serantau yang dijalankan setiap dua tahun di bawah Forum Pasaran Modal ASEAN. Ia menilai, memperbaiki, dan menggalakkan tadbir urus korporat dalam kalangan PLC di enam negara ASEAN yang mengambil bahagian.  

Anugerah ini menghargai PLC yang menunjukkan prestasi cemerlang dan mempunyai rangka kerja serta amalan tadbir urus yang kukuh selaras dengan piawaian antarabangsa, dengan fokus kepada ketelusan, akauntabiliti, dan keberkesanan lembaga pengarah, sambil menyumbang kepada pertumbuhan dan daya tarikan rantau ASEAN kepada pelabur.  

— BERNAMA  

Related Articles

Back to top button