EkonomiSemasa

Capital A, AirAsia X Lanjut Tarikh Akhir Perjanjian Jual Beli Saham Sehingga 31 Ogos 2025

Capital A Bhd dan AirAsia X Bhd (AAX) bersetuju untuk melanjutkan tarikh akhir bagi perjanjian jual dan beli saham (SSPA) yang melibatkan AirAsia Aviation Group Ltd (AAAGL) dan AirAsia Bhd (AAB) daripada 31 Julai 2025 kepada 31 Ogos 2025, atau tarikh lain yang akan dipersetujui bersama.

Menurut kenyataan yang difailkan kepada Bursa Malaysia, lanjutan ini bertujuan memberi masa tambahan kepada kedua-dua pihak bagi menyempurnakan syarat-syarat terdahulu yang masih belum dipenuhi berkaitan urus niaga tersebut.

“Langkah ini memberi ruang kepada Capital A dan AAX untuk mendapatkan kelulusan serta persetujuan daripada pihak berkuasa berkaitan, institusi pembiaya/peminjam dan/atau pihak ketiga,” menurut kenyataan itu.

Selain itu, AAX turut memaklumkan bahawa lanjutan ini adalah penting bagi membolehkan syarikat tersebut memuktamadkan syarat-syarat dengan pelabur yang telah dikenal pasti berhubung cadangan pelaksanaan tawaran saham persendirian, sebelum perjanjian itu disempurnakan sepenuhnya.

“AAX bersetuju melanjutkan tempoh pelaksanaan syarat-syarat berkaitan di bawah SSPA sehingga 31 Ogos 2025. Ini termasuk masa tambahan untuk menyelesaikan rundingan dengan pelabur strategik yang berpotensi,” jelas AAX lagi.

Perkembangan ini menunjukkan proses penstrukturan korporat antara syarikat penerbangan utama negara itu masih berjalan dan memerlukan masa tambahan bagi memastikan semua aspek teknikal, kewangan dan perundangan diselesaikan dengan sempurna.

— BERNAMA

 

Related Articles

Back to top button