DomestikSemasa

Cubaan Menyamar Di KLIA T2 Gagal, 13 Warga Asing Diusir

Cubaan 13 warga asing menyamar sebagai penumpang yang baru tiba bagi melepasi kawalan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur Terminal 2 (KLIA T2) berjaya digagalkan oleh Unit Pemantau Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS), semalam.

Dalam satu kenyataan hari ini, AKPS memaklumkan kesemua mereka terdiri daripada lapan lelaki dan seorang wanita warga India serta empat lelaki warga Pakistan. Mereka dipercayai cuba menyusup semula ke barisan pemeriksaan selepas diarahkan menjalani pemeriksaan lanjut di pejabat operasi imigresen.

“Mereka adalah sebahagian daripada 270 warga asing yang diperiksa. Difahamkan, suspek menukar pakaian di kawasan transit dan menyamar sebagai penumpang yang baru tiba untuk mengelirukan pihak berkuasa,” kata kenyataan itu.

Menurut AKPS, taktik itu berjaya dibongkar hasil pemantauan rapi serta tindakan pantas anggota yang mengesan pergerakan mencurigakan sebelum mereka sempat melepasi kawalan imigresen.

Bagi memperkukuh kawalan keselamatan, AKPS akan mempertingkat pemantauan di kawasan transit dengan rondaan lebih kerap, penggunaan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) serta prosedur saringan yang lebih ketat.

AKPS turut menyeru semua pihak yang beroperasi di KLIA agar sentiasa berwaspada dan melaporkan sebarang aktiviti mencurigakan bagi memastikan keselamatan dan integriti pintu masuk negara terus terpelihara.

— BERNAMA

 

Related Articles

Back to top button