PalestinSemasa

Dadah Bukan Isu Individu Sebaliknya Cerminan Kelemahan Sokongan Sosial – Ahmad Zahid

Isu penagihan dadah di Malaysia bukan sekadar masalah individu, sebaliknya mencerminkan kelemahan sistem sokongan sosial yang sepatutnya menjadi benteng utama membendung gejala itu, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Pengerusi Jawatankuasa Kabinet Membanteras Dadah (JKMD) itu berkata peningkatan jumlah penagih perlu dilihat sebagai kegagalan di peringkat keluarga, institusi pendidikan dan komuniti yang tidak dapat memberikan perlindungan secukupnya.

“Dadah bukan sahaja mengancam kesihatan dan keselamatan, malah menjadi ancaman kepada struktur sosial, pembangunan modal insan dan kemajuan negara.

“Oleh itu, peranan institusi agama, sekolah dan keluarga amat kritikal dalam membendung krisis dadah yang semakin meruncing,” katanya dalam temu bual khas bersama Bernama baru-baru ini.

Ahmad Zahid berkata Pelan Komunikasi Antidadah 2025-2027 akan dilancarkan tahun depan bagi menangani isu penyalahgunaan dadah secara holistik melalui kempen berfokus yang merangkumi keluarga, sekolah, institusi pendidikan tinggi, tempat kerja dan institusi agama.

Beliau berkata masjid, surau serta institusi tahfiz akan digerakkan sebagai pusat pencegahan awal melalui khutbah antidadah, kaunseling rohani dan pemulihan kerohanian, dengan sokongan pegawai agama negeri dan NGO Islam sebagai rakan advokasi.

“Keruntuhan institusi keluarga dikenal pasti sebagai pencetus kerentanan anak-anak terhadap dadah. Justeru, intervensi kekeluargaan sedang diperkasa dengan mesej utama ‘Pencegahan Bermula dari Rumah’,” katanya.

Menurut beliau, JKMD turut bekerjasama dengan Kementerian Pendidikan bagi mengukuhkan modul pencegahan berasaskan nilai, meningkatkan daya tahan pelajar serta melatih guru dan kaunselor untuk mengesan tingkah laku berisiko sejak awal.

Dalam pada itu, Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) menumpukan strategi khusus terhadap penagihan dadah dalam kalangan belia berusia 15 hingga 39 tahun yang merangkumi lebih 60 peratus daripada jumlah keseluruhan penagih di negara ini.

Ahmad Zahid berkata program seperti Skuad Antidadah, inisiatif keibubapaan, Kampung Bebas Dadah dan SMART (Sukses, Matang, Aktif, Rasional, Tanggungjawab) sedang dilaksana bagi membina jati diri, ketahanan mental, kepimpinan serta disiplin diri belia.

“Usaha membanteras dadah tidak boleh digalas kerajaan sahaja, sebaliknya merupakan amanah kolektif negara dan ummah. Pencegahan dadah adalah tanggungjawab bersama,” tegasnya.

— BERNAMA

Related Articles

Back to top button