DuniaSemasa

Dua Bintang Piano Cilik Malaysia Cipta Nama di Pentas Dunia

Dua pemain piano muda negara membanggakan Malaysia apabila berjaya meraih pencapaian gemilang di Pertandingan Piano Antarabangsa Liszt Ferenc ke-8 yang berlangsung di Budapest, Hungary, baru-baru ini.

Dua bakat cilik tersebut ialah Aira Mohd Zaki, 9, yang berjaya meraih tempat ketiga dalam kategori Children A, dan Amni Khadijah Kamalhafez, 12, yang menerima Anugerah Second Honourable Mention. Kedua-duanya merupakan pelajar di Illy Piano Academy, sebuah institusi muzik tempatan yang aktif melahirkan bakat baharu di pentas antarabangsa.

Pengasas merangkap Pengarah Artistik Illy Piano Academy, Illi Diyana Mohd Isa, berkata kejayaan ini membuktikan bahawa usia bukan penghalang untuk mencipta impak di arena muzik dunia.

“Kemahiran luar biasa, disiplin tinggi dan kehalusan seni yang ditampilkan kedua-dua peserta ini benar-benar memikat hati juri. Pertandingan ini bukan sahaja memberi pengalaman berharga kepada mereka, malah menjadi kebanggaan buat Illy Piano Academy,” katanya dalam kenyataan media.

Selain Aira dan Amni Khadijah, Malaysia turut diwakili oleh 15 peserta lain merangkumi pelbagai peringkat umur, yang semuanya mempamerkan persembahan bertenaga di hadapan barisan juri antarabangsa dalam kategori masing-masing.

Pertandingan yang berlangsung di Liszt Ferenc Old Academy of Music, Budapest, pada 2 dan 3 Ogos itu menghimpunkan peserta dari pelbagai negara termasuk Austria, China, Jerman, Jepun, Korea Selatan, Mexico, Thailand, selain tuan rumah Hungary.

Kejayaan ini sekali lagi membuktikan bahawa bakat muzik anak Malaysia mampu bersinar di pentas dunia, asalkan diberi ruang, bimbingan dan peluang yang tepat.

Sumber – Bernama

Related Articles

Back to top button