Dua pemuda biadap, mempersendakan golongan kelainan upaya
KUALA LUMPUR : Biadap ! Aksi dua pemuda menyalahgunakan ruangan parkir khas untuk golongan Orang Kelainan Upaya (OKU) di sebuah kompleks membeli belah, Mid Valley, Kuala Lumpur.
Pengerusi Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (BERNAMA), Senator Datuk Ras Adiba Mohd Radzi menggesa kedua pemuda tersebut untuk melakukan permohonan maaf secara terbuka terhadap golongan OKU atas tindakan biadap itu.
“Saya ingin memberi amaran kepada kedua pemuda tersebut, kalian semua telah mempersendakan golongan OKU dan berlakon sebagai seorang OKU.
“Saya mohon kalian berdua untuk meminta maaf kepada kesemua komuniti OKU di negara kita. Sudahlah kami susah, orang semua selalu memandang rendah terhadap kami dan orang semua menggunakan kemudahan yang telah dikhaskan kepada kami,” katanya.
Baru-baru ini video dari akaun TikTok @iswanishak, memaparkan rakannya yang digelar ‘Ajib’ meniru gaya orang kurang upaya demi mendapatkan tempat parkir kenderaan di pusat membeli belah itu.
Video yang mendapat tontonan lebih 11 ribu itu mendapat kecaman hebat masyarakat dan mengganggap kedua dua pemuda bersikap kurang ajar.
Menurut pelaku, mereka mendakwa tiada tempat untuk meletakkan kenderaan di pusat beli-belah itu sehingga rakannya terpaksa meniru gaya orang kelainan upaya supaya mudah untuk meletakkan kenderaan di tempat letak kereta khas tanpa diketahui orang awam.
“Kita semua akan menjadi OKU suatu hari nanti, jangan sekali-kali kalian mempersendakan kami.” tegas Ras Adiba menerusi hantaran video di Instagram.
Oleh Faiz Danial – Wartawan Pelatih Ummah Today