PalestinSemasa

Hamas Sedia Runding Cadangan Gencatan Senjata Gaza Ditengahi AS

Pergerakan Hamas mengesahkan kesediaannya untuk menyertai rundingan mengenai cadangan gencatan senjata baharu di Gaza yang ditengahi oleh Amerika Syarikat (AS).

Dalam kenyataan menerusi Telegram pada Ahad, Hamas memaklumkan pihaknya menerima beberapa idea yang disalurkan melalui pengantara antarabangsa dengan tujuan mencapai perjanjian gencatan senjata.

“Kami mengalu-alukan sebarang langkah yang menyokong usaha menghentikan pencerobohan terhadap rakyat kami. Hamas bersedia untuk segera duduk di meja rundingan bagi membincangkan pembebasan semua tawanan sebagai pertukaran kepada pengisytiharan jelas penamatan perang dan pengunduran sepenuhnya tentera Israel dari Semenanjung Gaza,” menurut kenyataan itu.

Hamas turut bersetuju dengan cadangan pembentukan sebuah jawatankuasa Palestin bebas yang akan menguruskan hal ehwal pentadbiran Gaza, selain menuntut jaminan Israel agar mematuhi apa jua persetujuan yang dicapai.

Kenyataan itu turut merujuk kepada cadangan terdahulu yang dibawa oleh pengantara Mesir dan Qatar pada 18 Ogos lalu, berasaskan idea Duta Khas AS Steve Witkoff. Namun, Hamas mendakwa Israel masih gagal memberikan maklum balas, sebaliknya meneruskan operasi ketenteraan yang disifatkan sebagai “pembunuhan beramai-ramai dan pembersihan etnik”.

Presiden AS Donald Trump sebelum ini mengumumkan pihaknya telah mengemukakan cadangan gencatan senjata dan perjanjian pertukaran tawanan, yang kini menunggu kelulusan penuh Israel.

Sementara itu, Pejabat Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu berkata mereka masih meneliti cadangan tersebut dan “menimbangnya secara serius”. Walau bagaimanapun, Netanyahu sebelum ini berulang kali menolak cadangan gencatan senjata menyeluruh, sebaliknya cenderung kepada perjanjian separa yang membolehkan Israel menetapkan syarat baharu pada setiap peringkat rundingan.

Hamas menegaskan pihaknya tetap komited untuk mencapai perjanjian komprehensif yang merangkumi pembebasan tawanan, penamatan perang serta pengunduran sepenuhnya tentera Israel dari Gaza.

Sumber: Agensi

Related Articles

Back to top button