
Eco-Shop Marketing Bhd mencatatkan keuntungan bersih RM204.32 juta bagi tahun kewangan berakhir 31 Mei 2025, naik daripada RM177.28 juta pada tahun sebelumnya, walaupun berdepan kos operasi lebih tinggi akibat peluasan rangkaian kedai dan pelaksanaan dasar gaji minimum. Perolehan tahunan juga meningkat kepada RM2.79 bilion daripada RM2.40 bilion, disokong oleh penambahan 74 kedai baharu.
Namun, kadar pertumbuhan jualan kedai sama (SSSG) mencatatkan penurunan kecil sebanyak 0.4 peratus, mencerminkan normalisasi perbelanjaan pengguna di cawangan matang dan cabaran ketersediaan produk. Bilangan urus niaga jualan melonjak 21.6 peratus kepada 114.8 juta transaksi.
Bagi suku keempat, keuntungan bersih merosot kepada RM49.41 juta daripada RM63.27 juta, tetapi perolehan meningkat kepada RM688.98 juta daripada RM640.67 juta, hasil daripada penambahan 22 kedai baharu, menjadikan jumlah keseluruhan 371 kedai berbanding 297 pada suku keempat 2024. Bilangan urus niaga suku keempat juga naik 12.4 peratus kepada 28.9 juta.
Eco-Shop mengisytiharkan dividen interim 1.0 sen sesaham, bernilai RM57.5 juta, yang akan dibayar pada 26 Ogos 2025, dengan tarikh kelayakan pada 12 Ogos 2025. Peningkatan harga jualan produk kepada RM2.60 di Semenanjung dan RM2.80 di Malaysia Timur mulai 14 April 2025 turut menyumbang kepada pertumbuhan pendapatan.
“Kami kekal berhati-hati menghadapi tekanan kos seperti kenaikan tarif elektrik, peluasan Cukai Jualan dan Perkhidmatan, serta caruman KWSP 2.0 peratus untuk pekerja asing. Kami memperkukuh daya tahan melalui kecekapan rantaian bekalan dan penetapan harga strategik,” kata Eco-Shop. Syarikat itu optimis margin dan prestasi akan terus bertambah baik, dengan peluasan rangkaian kedai sebagai strategi utama untuk penembusan pasaran yang lebih mendalam.
Sumber: BERNAMA