
Ketua parti Yashar, Gadi Eisenkot, dan Ketua parti Yisrael Beiteinu, Avigdor Lieberman, bersetuju untuk meneroka semua ruang rundingan dengan parti-parti Yahudi ultra-Ortodoks (Haredim) dalam usaha membentuk kerajaan gabungan baharu Israel.
Keputusan ini dicapai dalam mesyuarat pada Isnin berikutan mandat rasmi yang diterima Eisenkot daripada Presiden Israel, Isaac Herzog, selepas mendapat sokongan daripada 67 penggubal undang-undang. Langkah mengutamakan parti ultra-Ortodoks—iaitu United Torah Judaism dan Shas—dimaksudkan bagi menangguhkan pilihan pembentukan kerajaan minoriti yang terpaksa bergantung kepada sokongan parti-parti pimpinan Arab.
Kedua-dua parti ultra-Ortodoks berkenaan memegang 13 kerusi di Knesset, iaitu jumlah tepat yang diperlukan oleh blok 48 kerusi pimpinan Eisenkot untuk melepasi garis majoriti 61 kerusi.
Walau bagaimanapun, Isu pengerahan tentera kekal menjadi halangan terbesar. Parti-parti ultra-Ortodoks mengenakan empat syarat utama, termasuk pengeluaran perintah sementara bagi menggantung pengerahan tentera serta penangguhan tangkapan ke atas pelajar seminari agama. Manakala Lieberman—yang sebelum ini berpendirian tegas terhadap pengecualian khidmat tentera—menzahirkan kesediaan untuk berkompromi berteraskan rangka rang undang-undang kerahan 2018 tanpa melanggar prinsip asasnya.
Sekiranya rundingan bersama blok ultra-Ortodoks ini menemui jalan buntu, Eisenkot masih mempunyai alternatif membentuk kerajaan minoriti bersama sokongan 19 kerusi parti Arab di luar gabungan. Namun, pilihan itu berdepan penentangan keras daripada Lieberman sendiri. Eisenkot kini mempunyai tempoh 28 hari untuk melengkapkan pembentukan kerajaan baharu tersebut.
Sumber Maklumat: Anadolu Agency (AA)







