PalestinSemasa

Hamas Gesa Bantahan Global Sempena 600 Hari Pembunuhan Beramai-ramai di Gaza

Kumpulan penentang Palestin, Hamas, telah menggesa dunia untuk mengadakan bantahan selama tiga hari mulai 30 Mei hingga 1 Jun bagi meningkatkan tekanan ke atas Israel untuk menghentikan pembunuhan beramai-ramai di Gaza yang kini menghampiri hari ke-600.

Menurut laporan TRT World, serangan kejam Israel ke atas Gaza yang bermula pada 7 Oktober 2023 telah mengorbankan hampir 54,000 nyawa, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak, serta mencederakan kira-kira 123,000 orang. Hamas, dalam kenyataannya pada hari Selasa, menyeru peningkatan tindakan global di bandar-bandar dan dataran seluruh dunia untuk mengecam jenayah pembunuhan beramai-ramai, kebuluran, dan pencerobohan terhadap rakyat Gaza, serta menyatakan solidariti dengan Gaza, Baitulmaqdis, dan Masjid Al-Aqsa.

Israel telah menutup lintasan Gaza sejak 2 Mac, menghalang kemasukan bantuan makanan, perubatan, dan kemanusiaan, sekali gus memperburuk krisis kemanusiaan di wilayah tersebut. Laporan kerajaan, pertubuhan hak asasi manusia, dan badan antarabangsa menyatakan bahawa hampir keseluruhan penduduk Gaza telah dipindahkan secara paksa, dan sebahagian besar kawasan itu telah musnah menjadi runtuhan.

Pada November 2024, Mahkamah Jenayah Antarabangsa mengeluarkan waran tangkap terhadap Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, dan bekas Menteri Pertahanannya, Yoav Gallant, atas tuduhan jenayah perang dan jenayah kemanusiaan di Gaza. Israel juga sedang berdepan dengan tuduhan pembunuhan beramai-ramai di Mahkamah Keadilan Antarabangsa kerana jenayah perang terhadap penduduk awam di kawasan tersebut.

Hamas menyeru rakyat dunia untuk bersatu menentang pencerobohan ini, dengan harapan tekanan antarabangsa dapat memaksa Israel menghentikan serangan ke atas Gaza.

Sumber: TRT World & Agensi

Related Articles

Back to top button